Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan Pergerakan Wanita UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 08 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Kesemua parti dalam gabungan kerajaan perpaduan perlu terus bermuafakat bagi memastikan kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), kelak.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata UMNO bukan sahaja perlu memenangkan calon-calon Barisan Nasional (BN) tetapi juga calon-calon daripada rakan gabungan.

“Kita perlu muafakat demi bawa kemenangan kepada kerajaan perpaduan yang kita dokong. Kita bukan sahaja perlu menangkan calon BN tetapi juga kena bantu rakan dalam kerajaan.

“Memang sukar kerana sebahagian daripada parti dalam kerajaan telah lama berseteru,” katanya katanya dalam ucapan perasmian Sayap Wanita di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), hari ini.

Justeru, Noraini menyeru rakan-rakan dalam kerajaan perpaduan turut memberi sokongan yang sama kepada  UMNO-BN.

Katanya, walaupun sukar namun usaha itu perlu agar kerajaan perpaduan terus kukuh.

“Dalam mendepani kesukaran ini ingatlah pepatah Melayu, tidak ada gunung yang tidak dapat didaki, tidak ada lurah yang tidak dapat dituruni.

“Kebangkitan dan kejayaan ini bukanlah sesuatu yang mustahil untuk kita capai.

Justeru, perhimpunan pada hari ini sangat penting untuk kita sama-sama mencari formula terbaik, dalam usaha kita memberikan nafas baharu kepada wanita, demi meletakkan semula UMNO di persada negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette