Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields membuta serbuan. Foto Ihsan PDRM.

KUALA LUMPUR – Dua puluh individu ditahan polis semalam kerana terlibat dalam kegiatan mempromosi kegiatan judi dalam talian di sekitar Lembah Klang.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Amihizam Abdul Shukor berkata, bertindak atas maklumat, satu serbuan dilakukan di satu unit premis yang dijadikan pusat panggilan judi dalam talian.

Dalam serbuan itu, kesemua suspek ditahan terdiri daripada 11 lelaki tempatan dan empat perempuan tempatan selain warganegara China (tiga orang), Thailand serta Indonesia (masing-masing seorang).

Kesemuanya berusia 21 hingga 40 tahun dan tangkapan dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.

Tambah beliau, hasil serbuan itu, sebanyak 24 unit Monitor, CPU (13 unit); komputer riba (enam unit) ; perakam video dan router masing-masing (satu unit) dirampas.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati adanya unsur mempromosikan perjudian dengan menggunakan laman sesawang yang diberikan oleh suspek.

“Kesemua suspek berperanan sebagai pegawai khidmat pelanggan, pengurus, penyelia operasi yang akan memberikan panduan cara-cara perjudian dan memberi khidmat bantuan menjawab persoalan atau permasalahan daripada pemain.

“Mereka akan diberikan kadar gaji sebanyak RM4,000 hingga RM10,000 bagi seorang pemain,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, kata Amihizam, suspek yang berperanan sebagai pegawai khidmat pelanggan akan mendekati pemain (mangsa) melalui Live Chat, WhatApp dan Telegram.

“Suspek akan menawarkan permainan judi kepada mangsa dan meminta mangsa mendaftar akaun judi dengan menggunakan laman sesawang yang diberikan.

“Mangsa kemudian akan diarahkan memasukkan wang RMB ke dalam akaun e-Wallet yang diberikan dan setelah wang tersebut dimasukkan, sindiket akan memasukkan nilai kredit ke dalam akaun judi pemain tersebut,

“Seterusnya pemain boleh meneruskan permainan judi tersebut di mana-mana platform sesawang yang disediakan dab sindiket ini menyasarkan mangsa di kalangan warganegara China, ” ujarnya.

Tambah Amihizam, sindiket ini menyasarkan mangsa di kalangan warganegara China dan kesemua suspek telah direman selama tiga hari bagi melengkapkan siasatan.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar jangan mudah percaya dengan sebarang tawaran di laman sesawang sosial yang tidak jelas dan menjanjikan pulangan wang yang lumayan.

Jelasnya, orang ramai diingatkan agar tidak mendedahkan data peribadi atau maklumat perbankan kepada mana-mana individu yang tidak dikenali bagi tujuan mengurus dan mengutip wang taruhan.

“Masyarakat juga boleh membuat semakan nombor telefon dan nombor akaun di laman web htpp://ccid.rmp.gov.my/semakamule terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi.

“Sebarang maklumat mengenai sindiket penipuan boleh dilaporkan kepada National Scam Response Center (NSRC) di talian 997 jika anda mempunyai maklumat berkaitan.

“Sebarang jenayah atau aktiviti yang mencurigakan, hubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460584/0585 atau mana-mana balai polis berdekatan.- MalaysiaGazette