Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad meraikan pelajar cemerlang Sijili Pelajaran Malaysia (SPM) di SMK Kerdau, Temerloh hari ini

KUANTAN – Lima belas daripada 18 buah sekolah Menengah agama Negeri (SMAN) Pahang berjaya merekodkan lulus 100 peratus dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar Dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata keputusan SPM 2022 bagi SMAN di negeri ini juga merekodkan peningkatan Gred Purata Negeri (GPN) dan Gred Purata Sekolah (GPS) berbanding tahun 2021.

“Seramai 39 orang calon SMAN Pahang berjaya memperolehi A bagi semua subjek yang diduduki dalam SPM kali ini.

“Lima daripadanya mendapat 11 A; tiga calon mendapat 10A; 28 calon mendapat 9A; dan tiga lagi berjaya mendapat 8A.

“Gred Purata Negeri bagi 18 buah SMAN Pahang (GPN SMAN) SPM 2022 telah menunjukkan peningkatan sebanyak 0.25 daripada 4.54 pada tahun 2021 kepada 4.29 pada tahun ini, mengatasi Gred Purata Kebangsaan, 4.86 dan Gred Purata Negeri Pahang (GPN Pahang) 4.74,” katanya ketika dihubungi Malaysia Gazette hari ini.

Menurut beliau, Sekolah Menengah Agama Tengku Ampuan Fatimah, Pekan (SMATAF) berjaya memperolehi 2.53 dalam pencapaian Gred Purata Sekolah, meningkat 0.52 berbanding tahun 2021 (3.05).

“Apa yang paling membanggakan, SMATAF telah mengungguli GPS Daerah Pekan dengan mengatasi pencapaian SBPI Tun Abdul Razak yang mendapat 2.89, SMK Ahmad yang mendapat 2.91 dan Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah (SHAH) yang memperolehi 2.97.

“Manakala di peringkat Negeri Pahang, Sekolah Menengah Agama Tengku Ampuan Fatimah (SMATAF) juga berjaya mencapai kedudukan di antara 10 sekolah terbaik berbanding sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia dengan mengatasi Sekolah Menegah Agama Ma’arif (2.56), Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah, Raub (2.58) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Jengka (2.59).

Sementara itu, Kulliah Al-Lughah Waddin As-Sultan Abu Bakar juga telah menunjukkan peningkatan GPS dengan memperolehi 3.29 berbanding tahun 2021 (3.75). Sekolah Menengah Agama Chenor memperolehi GPS 3.47 meningkat 0.52 berbanding tahun 2021.

Sekolah Menegah Agama Al-Ihsan memperolehi GPS 3.49, menurun sedikit berbanding tahun 2021, iaitu 3.40 manakala Pencapaian GPS SMA Al-Attas, Pekan juga menunjukkan peningkatan 0.31, iaitu 3.67 berbanding tahun 2021 merekodkan 3.98. – MalaysiaGazette