Pengarah Jabatan Pendidikan Pahang Mohammad Rosli Abdul Rahman (kanan) dan Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abdul Razak (kiri)

KUANTAN – Pahang sekali lagi mengekalkan prestasi cemerlang dalam keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2022 dengan merekodkan Gred Purata Negeri (GPN) 4.57 sekali gus mengatasi Gred Purata Nasional 4.74 tahun ini.

Pengarah Pendidikan Pahang, Mohammad Rosli Abdul Rahman berkata, keputusan SPM 2022 menunjukkan peningkatan berbanding 4.74 yang direkodkan tahun lalu.

“Keputusan itu berdasarkan prestasi 17,567 calon berdaftar pada sesi peperiksaan SPM 2022 di Pahang yang mana 397 daripadanya merekodkan kecemerlangan berbanding 300 pelajar cemerlang tahun sebelumnya.

“Daripada 397 pelajar cemerlang, seramai 389 mendapat A (A+, A, A-) bagi semua subjek dan 8 calon mendapat A+ bagi semua subjek.

“Sebanyak 10 sekolah mencatatkan Gred Purata Sekolah (GPS) terbaik di mana tujuh sekolah merupakan sekolah harian biasa dan tiga lagi sekolah berasrama penuh (SBP),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Pengumuman Keputusan SPM 2022 peringkat Negeri Pahang di SMK Bukit Rangin, di sini hari ini.

Hadir sama, Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abdul Razak.

Menurut Mohamad Rosli, seramai 35 calon daripada 729 orang Asli mendapat sekurang-kurangnya 5A dalam keputusan SPM 2022.

Manakala daripada 112 calon berkeperluan khas, 15 calon telah mendapat keputusan sekurang-kurangnya 5A.

Pada peperiksaan SPM lalu, seramai 9,855 petugas peperiksaan ditempatkan di 201 lokasi pusat peperiksaan dengan bilangan pendaftaran sebanyak 66 subjek di negeri ini. – MalaysiaGazette