S Nagendran dan A Sangeetha mengaku tidak bersalah mengakibatkan kecederaan fizikal terhadap anaknya berusia empat tahun.

JOHOR BAHRU -Sepasang suami isteri hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini atas pertuduhan cuai dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap anak lelaki berusia empat tahun, akhir April lepas.

Pasangan itu yang masing-masing berusia 23 tahun itu, membuat pengakuan berkenaan di hadapan Hakim VM Mabel Sheela.

Pasangan berkenaan yang dilepas tanpa dibebaskan semalam, didakwa semula dengan pertuduhan baharu, hari ini.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua tertuduh didakwa bagi mencapai niat bersama, telah bertindak secara cuai dengan cara yang mungkin akan menyebabkan mengalami kecederaan fizikal terhadap kanak-kanak lelaki berusia empat tahun di bawah jagaan mereka.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah unit apartment di Skudai Villa Apartment, Jalan Aman Taman Skudai Baru, di sini, pada 28 April, 12.30 tengah malam.

Wanita berkenaan yang merupakan ibu kandung kanak-kanak itu dan sedang hamil, manakala suaminya bapa tiri mangsa, didakwa di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya S Thiviya menawarkan jaminan RM20,000 setiap seorang dengan seorang penjamin, selain syarat tambahan tidak menganggu saksi kes serta menyerahkan pasport antarabangsa.

Bagaimanapun, kedua tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon wang jaminan dikurangkan.

Hakim kemudiannya menetapkan wang jaminan RM7,000 setiap seorang dengan seorang penjamin serta memerintahkan kedua tertuduh melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali, jangan menganggu saksi serta menyerahkan pasport antarabangsa, sebagai syarat tambahan.

Kes akan disebut semula pada 11 Julai ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.-MalaysiaGazette