Suspek dikehendaki dalam kes bunuh iaitu Perkas Rao berjaya ditahan reman di Mahkamah Klang pagi tadi.Ihsan IPD Klang Selatan

KUALA LUMPUR – Tidak sampai 24 jam hebahan dibuat, seorang lelaki yang diburu polis untuk membantu siasatan kes bunuh lelaki tempatan di Taman Sentosa Utama, Klang akhirnya berjaya diberkas.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, suspek berusia 41 tahun yang turut dikenali dengan jolokan Rider telah ditahan di kawasan Sri Muda Shah Alam malam tadi.

“Untuk makluman, suspek bunuh yang sangat dikehendaki itu telah ditangkap oleh anggota Balai Polis Sri Muda, Shah Alam 9.50 malam tadi.

“Suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Klang pagi tadi dan dibenarkan direman selama tujuh hari sehingga 14 Jun ini,” katanya dalam satu kenyataan ringkas, hari ini.

Tambah Hoong Fong, kes sedang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Katanya, jika disabitkan kesalahannya boleh dijatuhkan hukuman mati.

Dalam satu kenyataan semalam, Hoong Fong meminta bantuan orang ramai untuk menyalurkan maklumat mengenai keberadaan Perkas Rao yang dikehendaki polis kerana terlibat dalam kes pembunuhan seorang lelaki tempatan, 26 Mei lalu.

“Hasil siasatan mendapati mangsa dalam kejadian bunuh itu merupakan seorang lelaki warga tempatan yang berumur 34 tahun yang telah dipukul oleh suspek (dikehendaki) di sebuah rumah di Taman Sentosa Utama, Klang.

“Akibat kejadian itu mangsa telah mengalami 27 kesan kecederaan pada seluruh badannya dan patah tulang kaki kiri.

“Pakar forensik yang membedah siasat mayat simati di hospital Klang mengesahkan bahawa punca sebenar kematian mangsa adalah disebabkan oleh ‘Massive Soft Tissue Injury Due to Blunt Force Trauma,” katanya dalam kenyataan awal itu.-MalaysiaGazette