isu 3R kerajaan tebuk atap
Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR — Teguran terhadap menteri adalah perlu bagi mengukuhkan Kerajaan Perpaduan, kata Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) itu, UMNO perlu mempunyai pendirian untuk menegur menteri yang mempunyai prestasi kurang memuaskan.

“Jika ada di kalangan menteri itu tidak cekap, tidak pandai mengurus dan tidak ada idea baharu takkan kita mahu biarkan?

“Mereka juga perlu ditegur (kerana) teguran itu sebenarnya bagi memastikan Kerajaan Perpaduan ini (lebih) kuat,” katanya

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, malam ini.

Terdahulu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam ucapannya berkata, kritikan perlu disalurkan melalui medium dalaman.

Ahli Parlimen Rembau itu juga meminta semua pihak menghentikan sindir menyindir di hadapan umum.

Beliau turut menasihatkan semua ahli UMNO untuk tidak memusnahkan parti itu dengan amarah dan dendam kesumat hanya kerana cita-cita peribadi terkandas.

Sebelum ini, Puad menerusi hantaran di Facebook mempersoalkan apa langkah signifikan yang diambil oleh Menteri Kewangan, Rafizi Ramli bagi memulihkan ekonomi negara terutamanya daripada segi menangani kesan kejatuhan nilai ringgit. -MalaysiaGazette