Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR – Wanita UMNO turut mengetengahkan kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa Pulau Pinang adalah milik Kedah pada persidangan sayap Wanita sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU2023), hari ini.

Ketua Pergerakan Wanita, Datuk Dr Noraini Ahmad secara berseloroh berkata sekiranya tidak pasti, Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu tidak perlu berkongsi maklumat kepada umum.

“Orang cakap MB Sanusi popular, betul ke? Ada juga sesekali Tik Tok dia lalu lalang, comel jugak. Peluh-peluh baju dia, lepas itu pandai nyanyi pulak, pergi mana-mana sekarang menyanyi lagu rock kapak.

“Tapi YB Sanusi kena ingat, tidak semua cakap tu ada benarnya. Suka sebar benda tak pasti. Macam-macam dia cakap, kalau tidak pasti jangan kongsi.

“Yang pasti Pulau Pinang itu sebuah negeri, bukan di bawah Kedah,” katanya dalam ucapan penggulungan pada persidangan tersebut, hari ini.

Pada 29 Mei lalu, Sanusi dilaporkan berkata, Kedah dan Pulau Pinang tidak ada sempadan kerana Pulau Pinang masih hak Kedah dan beliau mendakwa Kedah hanya mempunyai sempadan dengan Perak dan Perlis.

Susulan kenyataan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima laporan dan telah membuka kertas siasatan berhubung kenyataan Menteri Besar Kedah itu.

Semalam, media melaporkan PDRM mengesahkan telah selesai mengambil keterangan daripada Muhammad Sanusi berhubung kenyataannya yang mendakwa Pulau Pinang adalah milik Kedah.

Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Saaduddin berkata, PDRM kini dalam tindakan melengkapkan kertas siasatan sebelum merujuk ke Pejabat Peguam Negara selari dengan peruntukan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan dalam tempoh terdekat. – MalaysiaGazette