sewa rumah
Dr Akmal Saleh

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO mencadangkan kerajaan mewujudkan elaun sewa rumah atau mengkaji pelaksanaan penetapan harga siling sewa rumah khusus untuk golongan mahasiswa.

Ketuanya, Dr Akmal Saleh berkata, langkah itu membolehkan mereka menampung kos sewa rumah mengikut kadar yang ditetapkan berdasarkan lokaliti kampus masing-masing.

Menurut beliau, inisiatif tersebut telah dilaksanakan di negara-negara lain termasuk Australia, Jerman, New Zealand dan Perancis.

“Isu perumahan turut dirasai oleh adik-adik kita yang sedang menuntut di menara gading. Konteks mereka bukan isu pemilikan tetapi isu penyewaan.

“Kos sewa rumah yang semakin meninggi, menyebabkan adik-adik kita terpaksa ikat perut, berhimpit bersesak di rumah yang kecil, yang akhirnya mengundang ketidakselesaan,” katanya.

Dr Akmal berkata demikian ketika berucap menyampaikan ucapan Dasar Ketua Pemuda pada Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO 2023 di Dewan Tun Razak 4, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau memberitahu, Jawatankuasa Khas Perumahan Orang Muda akan ditubuhkan di bawah Pemuda UMNO bagi menuntut inisiatif yang segar dan lebih baik.

“Bagi menjayakan cadangan ini, Pemuda UMNO mengajak libat urus bersama-sama pemegang taruh seperti wakil belia, pemaju, institusi perbankan dan agensi-agensi kerajaan dan swasta,” jelasnya.

Sementara itu, Akmal berkata, setiap ketua pemuda UMNO bahagian akan diwajibkan untuk mendapatkan sekurang-kurangnya pendidikan bertaraf diploma.

Beliau menambah, Pemuda UMNO akan menjadi pemudah cara bagi mana-mana ahlinya yang berminat untuk menyambung pelajaran mereka.

Akmal berkata, Pemuda UMNO akan menjalinkan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi (IPT) awam atau swasta di negara ini, dan akan berhubung dengan agensi-agensi berkaitan bagi urusan pinjaman atau biasiswa.

“Kita tak mahu orang melihat Pemuda hanya sebagai pemasang bendera semata-mata. Kita komited untuk menghasilkan kepimpinan Pemuda UMNO yang berani dan juga berilmu,” jelasnya. – MalaysiaGazette