RANTAU PANJANG – Hari mendebarkan bagi sebahagian pelajar Maahad Muhammadi Rantau Panjang (MMRP) di sini, berakhir dengan 12 calon yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu mendapat A.
Dari jumlah itu, masing-masing tiga pelajar mendapat 9A dan 8A, masing-masing satu memperoleh 7A dan 6A serta empat lagi berpuas hati dengan keputusan 5A.
Slip keputusan SPM kepada pelajar cemerlang itu disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gual Periok, Datuk Paduka Mohamad Awang di sekolah itu, semalam.
Sementara itu, Pengetua MMRP, Shafei Abdullah ketika ditemui mengucapkan syukur dan terima kasih kepada pelajar yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang, sekali gus mengharumkan nama sekolah itu.
Katanya, pelajar yang mendapat keputusan A dalam peperiksaan SPM itu masing-masing menerima saguhati daripada ADUN berkenaan sebagai tanda penghargaan atas kejayaan mereka dalam peperiksaan.
“Tahniah saya ucapkan kepada pelajar yang berjaya dan kepada yang tidak berjaya, sesungguhnya kegagalan itu bukan bererti gagal selama-lamanya.
“Mereka harus berusaha agar tahun hadapan akan mendapat keputusan yang cemerlang seperti rakan yang mendapat A hari ini,” katanya.
Shafei turut mengucapkan terima kasih kepada guru MMRP yang bertungkus lumus mengajar dan memberi penekanan kepada calom SPM sepanjang tahun lalu sehingga 12 daripada pelajar sekolah itu mencapai keputusan cemerlang.
Beliau berharap, kecemerlangan itu dapat dikekalkan barisan pelapis yang menunggu giliran menduduki peperiksaan SPM bagi menjulang nama baik sekolah, walaupun berada di luar bandar.
Di Putrajaya semalam, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali berkata, seramai 10,109 atau 2.7 peratus daripada 373,974 calon yang menduduki peperiksaan SPM 2022 memperoleh keputusan cemerlang gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran.
Menurutnya, seramai 403,637 calon telah menduduki peperiksaan bertulis SPM 2022 pada 20 Februari hingga 15 Mac lalui, membabitkan 3,355 pusat peperiksaan seluruh negara. – MalaysiaGazette