KIRA-kira 25 tahun lalu, bangunan Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), yang sebelum ini didaftarkan atas nama Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di tengah ibu kota Kuala Lumpur menjadi rumah kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau sentiasa berulang alik antara pusat pentadbiran kerajaan persekutuan sebagai Timbalan Perdana Menteri ke WTCKL selaku Timbalan Presiden UMNO sebagai rutin hariannya dalam kerja dan politik.
Namun, tempohnya bersama kerajaan dan parti tidak memihak kepada beliau apabila dipecat dari dua jawatan itu oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 2 September 1998 atas dakwaan rasuah dan liwat.
Dengan itu, Anwar tidak lagi berulang alik sama ada ke pusat pentadbiran kerajaan persekutuan mahupun bangunan WTCKL. Beliau menghabiskan masa dipenjara atas kesalahan berkenaan.
Dalam masa sama, beliau menubuhkan parti baharu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang sehingga kini kekal dalam dunia politik tanah air.
Hari ini, selepas 25 tahun berlalu, Anwar diberi penghormatan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai tetamu istimewa untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2023 (PAU).
Kehadirannya menggamit kenangan 1998 iaitu tahun terakhir beliau berdiri di atas pentas di Dewan Merdeka di depan lebih 3,000 perwakilan dari lebih 190 bahagian seluruh negara termasuk Sabah.
Beliau diberikan sambutan permaidani merah oleh UMNO ketika mula-mula melangkah kaki ke bangunan WTCKL menuju ke Dewan Merdeka, tempat kira-kira 3,000 perwakilan dan barisan kepimpinan parti berkumpul.
Ada yang menyapu air mata, terharu melihat kemunculan seketul tubuh kerdil yang diiringi Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Lebih terharu apabila Anwar yang berdiri sebaris dengan barisan kepimpinan tertinggi UMNO turut menyanyikan lagu UMNO, Bersatu, Bersetia, Berkhidmat, lagu yang menjadi dendangannya suatu ketika dahulu.
Kehadiran Anwar turut disaksikan pimpinan komponen Barisan Nasional (BN), selain 19 parti yang bergabung membentuk Kerajaan Perpaduan, termasuk Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu; Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal; dan Setiausaha DAP Kebangsaan, Anthony Loke.
Anwar diberi penghormatan oleh UMNO selepas parti itu menyertai Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk Kerajaan Perpaduan sebaik menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November tahun lalu.
Dalam kerajaan itu, UMNO diberikan jawatan Timbalan Perdana Menteri yang dipegang oleh Ahmad Zahid dan beberapa jawatan menteri serta timbalan menteri.
Atas dasar kebersamaan itu, UMNO menjemput Anwar sebagai tetamu kehormat sempena PAU 2023 yang berlangsung selama empat hari dari 7 hingga 10 Jun ini.
Ketika ditanya pemberita, Anwar yang merupakan Presiden PKR menyatakan, kehadirannya di PAU hari ini adalah yang julung kali baginya selepas dipecat ada 1998 dan demi kerana menyempurnakan tugas kepada negara.
“Saya selesa hadir di sini kerana sudah biasa dengan suasana ini sebelum ini.
“Yang lebih saya menyempurnakan tugas kepada negara, pengalaman peribadi itu penting, tetapi ia tidak boleh mengatasi kepentingan rakyat dan kepentingan negara,” katanya.
Ahmad Zahid pula, dalam Ucapan Dasarnya mengucapkan selamat datang kepada Anwar selaku Perdana Menteri kerana sudi hadir ke Perhimpunan Agung UMNO 2023.
“Tentunya, detik ini amat bersejarah kerana 25 tahun kita berpisah atas aturan Allah yang tentunya penuh dengan hikmah. Kita kembali bersama untuk meneruskan perjalanan sebuah negara bangsa.
“Kita juga mengalu-alukan kehadiran sahabat lama kita yang kini kembali bersama atas satu tekad di bawah Kerajaan Perpaduan untuk menjamin kesejahteraan dan kemakmuran negara,” katanya.
Menurut Ahmad Zahid, dalam konteks Kerajaan Perpaduan, ia adalah realiti politik yang terhidang di hadapan.
Dengan penyertaan sebanyak 19 parti komponen, lebih besar daripada aturan kerjasama politik 1974, sudah tentu rencamnya lebih rumit.
Namun, kepelbagaian yang terdapat seharusnya dilihat sebagai satu kekuatan bila mana mereka berupaya untuk berdiri atas titik persamaan.
“Sementara kita meraikan perbezaan dan persamaaan, UMNO akan memastikan kekuatan yang dibina ini akan tetap berpaksikan kepada asas negara yang selama ini, menjadi pelindung keamanan, keharmonian dan kestabilan negara.
“Di samping itu, dalam tempoh tujuh bulan Kerajaan Malaysia Madani ini, ada suara-suara yang mengatakan banyak perkara yang menjadi game changer belum terlaksana.
“Untuk berlaku adil, saya pernah menyebutkan bahawa usia tujuh bulan adalah satu usia dalam kandungan ibu. Tempoh matangnya adalah apabila anak yang dikandung itu lahir,” katanya.
Beliau meminta rakyat memberi peluang kepada Kerajaan Perpaduan itu untuk menterjemahkan agenda yang telah dijanji dan dirancang kerana yakin dapat dilaksanakan dengan dukungan kakitangan awam yang berpegang kepada prinsip menumpahkan taat setia kepada kerajaan semasa.
Walaupun tahu, ada segelintir yang masih berkiblatkan kepada orang lama yang mereka minati sebelum ini, tetapi diyakini, mereka akan kembali bersama dengan dasar kerajaan sedia ada untuk kesejahteraan rakyat dan negara.
Ahmad Zahid turut memberi jaminan, ketika bergerak ke hadapan, UMNO yang kini bersama-sama di dalam Kerajaan Perpaduan, mempunyai peranan besar.
Pertamanya, menjadi pelindung dan benteng kepada asas keindukan bernegara agar Islam, Melayu, Bumiputera dan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan terus dipertahan serta tidak dipertikai;
Kedua, menjamin kerjasama politik yang dijalin adalah atas kepentingan negara dan rakyat, di samping menentukan kestabilan negara tidak akan diganggu gugat oleh mereka yang kemaruk untuk berkuasa.
Ketiga, memastikan UMNO dan BN kekal menjadi rakan strategik politik Kerajaan Perpaduan dan kedudukan UMNO serta BN mestilah mencerminkan representasi sebenar keberadaan kita khususnya di Semenanjung dan Sabah.
Keempat, memainkan peranan penting dalam isu ummah melalui kerjasama dengan negara-negara Islam.
Kelima, meningkatkan penglibatan Malaysia di pentas antarabangsa bagi menarik lebih banyak pelaburan dan perniagaan ke negara ini demi kesejahteraan rakyat.
Anwar yang asyik menghayati Ucapan Dasar itu dilihat sekali sekala bertepuk tangan, mengangguk dan melontar senyuman ke arah perwakilan.
Kesimpulannya, PAU 2023 adalah perhimpunan terakhir bagi tempoh PRU14 yang tamat akhir Jun ini, yang turut menyaksikan enam negeri akan berhadapan dengan pilihan raya.
“Atas semangat dan pendekatan Kerajaan Perpaduan, kita akan berhadapan dengan PRN di enam negeri iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.
“Kerjasama yang baharu terbentuk sekitar tujuh bulan ini, yang masih dalam peringkat pematangan akan menjadi medan untuk kita memupuk persefahaman.
“Kita akan berhadapan dengan dua situasi berbeza pada PRN kali ini. Pertama, tiga negeri yang kini ditadbir oleh rakan kita dalam Kerajaan Perpaduan iaitu di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan. Keduanya, di tiga negeri yang dikuasai pihak lawan iaitu di Kedah, Terengganu dan Kelantan,” katanya. – MalaysiaGazette