Bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man tiba di Mahkamah bagi menghadapi lima pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram yang akan berdepan pertuduhan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini dimaklumkan bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi menyemak pertuduhan tuntutan palsu dan pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapinya.

Dalam prosiding hari ini juga, mahkamah membenarkan permohonan tertuduh yang mahu lima pertuduhan terhadapnya digabungkan dan dibicarakan bersama.

Hari ini di hadapan Hakim Azura Alwi, Azlan Man kekal mengaku tidak bersalah terhadap lima tuduhan mengemukakan tuntutan palsu yang pernah dibacakan di Mahkamah Sesyen Perlis sebelum ini dan beliau mohon dibicarakan terhadap kelima-lima tuduhan berkenaan.

Untuk makluman, pertuduhan itu dipindahkan dari Mahkamah Sesyen di Kangar ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bulan lalu.

Timbalan Pendakwa Raya Zander Lim Wai Keong kemudian memohon supaya lima tuduhan itu digabungkan dan didengar bersama lima tuduhan menerima hasil aktiviti pengubahan wang haram (yang didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur) mengikut Seksyen 165 Kanun Acara Jenayah (KAJ).

Sehubungan itu, Azura membenarkan permohonan pendakwaan supaya 10 tuduhan itu dibicarakan bersama.

Peguam mewakili tertuduh, Burhanudeen Abdul Wahid juga memohon supaya mahkamah menetapkan tarikh lain iaitu 8 September bagi sebutan kes memandangkan pihaknya akan menghantar surat representasi kepada AGC.

Azura membenarkan permohonan tersebut sebelum menetapkan 8 September depan.

Sebelum ini Azlan mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan membuat tuntutan palsu perjalanan ke luar negara berjumlah RM1.185 juta dari 2013 hingga 2017 ketika mentadbir negeri Perlis.

Azlan didapati dengan niat menuntut kemudahan cuti seberang laut yang layak diberikan kepadanya sebagai Menteri Besar Perlis, bagi tempoh bermula 2013 sehingga 2017 sedangkan tidak ada sebarang perjalanan berkenaan oleh beliau.

Ia membabitkan sebut harga tiket penerbangan ke London, United Kingdom dan invois syarikat pelancongan Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn Bhd serta Aidil Travel & Tours Sdn Bhd.

Tuduhan itu adalah mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta yang sama, membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butiran dokumen yang palsu atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Azlan juga didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas lima pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti haram (AMLA) berjumlah RM1.06 juta pada 12 April lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum bawah seksyen 4(1) akta sama. -MalaysiaGazette