KUALA LUMPUR – Indeks Pengeluaran Perindustrian Malaysia menyusut 3.3 peratus pada April 2023 berbanding positif 3.2 peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya berikutan penguncupan dalam kesemua sektor, iaitu perlombongan dengan negatif 4.9 peratus (Mac 2023: 0.8%); pembuatan dengan negatif 3.0 peratus (Mac 2023: 4.1%); dan elektrik dengan negatif 2.0 peratus (Mac 2023: 0.4%).
Berbanding dengan bulan sebelumnya, IPP merosot 10.8 peratus selepas mencatatkan pertumbuhan 8.4 peratus pada Mac 2023.
Kemerosotan sektor pembuatan sebanyak 3.0 peratus pada April 2023 merupakan penyusutan kali pertama sejak Julai 2021, dipengaruhi terutamanya oleh penurunan 3.5 peratus dalam industri berorientasikan eksport (Mac 2023: 3.6%).
Di samping itu, penguncupan industri berorientasikan eksport pada April 2023 adalah yang pertama direkodkan dalam tempoh 34 bulan, berikutan penurunan dalam pembuatan produk getah sebanyak 16.5 peratus dan pembuatan komputer, elektronik & produk optik yang mencatatkan negatif 1.8 peratus.
Pada masa yang sama, industri berorientasikan domestik merekodkan penurunan 2.1 peratus disebabkan terutamanya oleh pembuatan kenderaan bermotor, trailer dan semi-trailer (-15.5%); pembuatan minuman (-5.5%) dan; pembuatan produk prosesan makanan (-4.9%).
Bagi perbandingan bulan ke bulan, sektor pembuatan menguncup 11.4 peratus selepas mencatatkan 7.8 peratus pada Mac 2023.
Pengeluaran dalam sektorperlombongan menyusut 4.9 peratus pada April 2023, dipengaruhi oleh kemerosotan berterusan dalam indeks Gas Asli dengan 7.8 peratus dan kejatuhan marginal 0.9 peratus dalam indeks minyak mentah & kondensat.
Berbanding Mac 2023, indeks perlombongan mencatatkan penurunan dua digit 10.7 peratus berbanding kenaikan 8.5 peratus yang direkodkan pada Mac 2023.
Begitu juga dengan pengeluaran elektrik yang berkurang 2.0 peratus pada April 2023 selepas merekodkan sedikit peningkatan 0.4 peratus pada Mac 2023.
Bagi perbandingan bulan ke bulan, indeks elektrik turun 4.8 peratus berbanding pertumbuhan positif 15.1 peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.
Empat bulan pertama 2023, IPP menyederhana kepada 1.3 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2022.
Pada tempoh tersebut, indeks pembuatan dan perlombongan masing-masing meningkat sebanyak 1.8 peratus dan 0.3 peratus, manakala indeks elektrik jatuh 1.2 peratus. – MalaysiaGazette