Najib segera pemimpin UMNO
Perwakilan UMNO memegang poster Solidariti Untuk Najib Razak pada Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 09 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu dibebaskan secepat mungkin bagi membantu kempen UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada enam pilihan raya negeri (PRN).

Penganalisis politik, Lim Sian See berkata, kelibat Najib juga berupaya menaikkan semangat seluruh jentera UMNO dan BN.

Beliau berpandangan, UMNO perlu melakukan lebih lagi daripada sekadar melaungkan desakan membebaskan Najib semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 sahaja.

“Tapi perlu berhasil. Jangan hanya berulang kali laung sahaja. Main video Nizar (Datuk Mohd Nizar Najib) pun tak ke mana. Perlu ada hasil dan action yang tegas dan laju.

“Mulakannya dengan Kerajaan Perpaduan gugurkan beberapa kes yang tak masuk akal terhadap Najib sementara tunggu proses pengampunan,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Para pemerhati Perhimpunan Agung UMNO 2023 yang berada di luar Dewan Merdeka, WTC Kuala Lumpur turut bersolidariti bersama Najib Razak. Foto MUHD NA’IM, 09 JUN 2023.

Terdahulu, ketika menyampaikan ucapan dasarnya pada PAU 2023, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendesak supaya Najib diberi keadilan yang sewajarnya.

Desakan yang disuarakan di hadapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut mengikuti ucapan dasar tersebut disambut dengan laungan ‘Bebaskan Bossku’.

Selain itu, ramai perwakilan dilihat memegang poster yang memaparkan tulisan ‘Solidariti Untuk Najib Razak’ sebagai tanda sokongan terhadap bekas Presiden UMNO itu.

Ketika ini, timbul kebimbangan sokongan terhadap UMNO dan BN pada PRN di Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu akan terjejas selagi Najib tidak dibebaskan.

Sebahagian besar akar umbi UMNO yang masih teguh menyokong Najib yang popular dengan gelaran Bossku berharap beliau akan bersama mereka pada kempen enam PRN.

Ketika ini, Najib sedang menjalani hukuman penjara selama 12 tahun setelah disabitkan dengan kes SRC International Sdn Bhd.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu juga sedang berdepan prosiding kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) di mahkamah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast