Dua daripada enam Geng Faiz Tanah Merah diberkas bersama motosikal dipercayai curi.

MELAKA – Seorang kakak dan adiknya yang juga ketua Geng Faiz Tanah Merah termasuk seorang remaja berusia 13 tahun antara enam ahli kumpulan curi dan samun motosikal berjaya diberkas polis dalam serbuan di sini semalam.

Kesemua suspek berusia antara 13 hingga 40 tahun itu yang aktif mencuri motosikal di sekitar daerah Melaka Tengah sejak April lalu ditahan dalam beberapa serbuan berasingan antara pukul 11.30 pagi hingga 5 petang.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata serbuan dilakukan beberapa lokasi iaitu di Tangga Batu, Paya Rumput, Taman Paya Rumput Indah dan Rembia.

“Antara enam yang ditahan adalah ketua geng terbabit iaitu lelaki berusia 26 tahun dan kakaknya berumur 37 tahun, sepasang kekasih selain seorang remaja lelaki 13 tahun yang sudah tidak bersekolah.

“Hasil siasatan terhadap kesemua mereka, selain mengaku mencuri motosikal, mereka juga terlibat dalam jenayah samun dengan melarikan kenderaan berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambahnya, ahli kumpulan itu mempunyai peranan masing-masing sebelum motosikal yang dicuri atau disamun itu akan akan diubah suai atau dileraikan untuk dijual selain turut digunakan ahli kumpulan terbabit.

“Hasil kejayaan ini kita percaya dapat menyelesaikan lapan kes curi dan samun motosikal di sekitar Melaka Tengah sejak beberapa bulan lalu termasuk kehilangan motosikal di Taman Malim Jaya, April lalu.

“Semakan menerusi Sistem Pengurusan Rekod Jenayah (SPRJ) mendapati, lima suspek mempunyai rekod kes jenayah lampau antaranya dadah dan curi,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 413 KK, Seksyen 379A KK dan Seksyen 414 KK.

Semua mereka akan dituduh di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh pagi ini atas pelbagai kesalahan antaranya di bawah Seksyen 395 KK, Seksyen 413 KK, Seksyen 379A/170 KK, Seksyen 411 KK dan Seksyen 414 KK. – MalaysiaGazette.

 

 

 

SEORANG daripada Geng Faiz Tanah Merah bersama motosikal dipercayai motosikal curi. FOTO Ihsan polis