Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana kesalahan yang melibatkan hak dan kebajikan kanak-kanak selaras dengan Akta Kanak-kanak 2001.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menegaskan ia memandang serius kes penderaan seorang kanak-kanak berusia dua tahun oleh orang yang dikenali sepertimana yang tular di laman sosial baru-baru ini.

“Kementerian dimaklumkan bahawa suspek kini dalam tahanan Polis Diraja Malaysia dan yakin bahawa siasatan terperinci terhadap pesalah kes penderaan dan salah laku terhadap kanak-kanak ini akan dijalankan.

“Selain itu, kementerian juga dimaklumkan bahawa kanak-kanak ini telah dibawa ke hospital bersama ibu bagi menerima rawatan dan berada dalam keadaan selamat.

“Kementerian melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat dan semua Jabatan serta Agensi di bawah KPWKM ini akan terus memberikan pemeliharaan dan pelindungan sewajarnya kepada kanak-kanak selain meningkatkan kesedaran dalam usaha melindungi kanak-kanak melalui kerjasama dengan pelbagai pihak,” katanya.

Terdahulu, tular beberapa rakaman di media sosial memaparkan seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun menjadi mangsa dera yang didakwa dilakukan oleh kekasih ibunya.

Kejadian dikatakan berlaku di Wangsa Maju, di ibu negara.

Perkara itu didedahkan oleh selebriti dan penyanyi rap, Caprice di laman Instagram dan juga Telegram miliknya pada awal pagi Khamis, selepas menerima kiriman mesej daripada pengikutnya bagi meminta jasa baik orang awam untuk mengesan pelaku kes dera agar diheret ke muka pengadilan.

Berdasarkan laporan polis oleh ibu mangsa yang turut dimuat naik dalam perkongsian tersebut, anak kecilnya didera oleh teman lelaki hanya kerana membuat bising. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast