nufam
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kesatuan Kebangsaan Pramugari Malaysia (NUFAM) menggesa Kerajaan Malaysia agar melarang Jocelyn Chia daripada menaiki semua penerbangan Malaysia Airlines, apatah lagi melintasi sempadan Malaysia sehingga beliau memohon maaf secara terbuka kepada rakyat negara ini.

Menurut NUFAM, sesungguhnya perbuatan Jocelyn sukar diterima oleh rakyat negara ini terutama keluarga penumpang dan krew MH370.

Oleh itu, NUFAM mahu pihak berkuasa Malaysia mengambil tindakan tegas terhadap pelawak Joceyln Chia yang telah mengutuk kehilangan MH370.

Tegasnya, mana mana pihak yang mempersendakan negara, agama dan bangsa kita tidak layak mendarat di negara yang indah dan aman ini.

“Walaupun beliau dikatakan seorang pelawak profesional yang tinggal di Amerika Syarikat, tapi adalah lebih wajar jika seseorang pelawak itu menunjukkan sifat hormat dan sensitif kepada nyawa yang terkorban, terutama sekali kepada keluarga mangsa MH370.

Jocelyn juga telah menguris hati ramai pihak dengan pelbagai kutukan terhadap negara Malaysia.

“Tidak ada yang melucukan apabila anda mempunyai keluarga yang kehilangan orang tersayang dalam mana-mana insiden kemalangan atau kehilangan jiwa semasa dalam penerbangan.”

“Joceyln Chia sebagai pelawak sudah melampaui batas apabila menyentuh isu MH370 secara sinis.

“Dia secara langsung telah meluka perasaan keluarga, anak-anak dan rakan-rakan yang masih bersedih atas kehilangan MH370,” kata NUFAM.

Dalam klip videonya, dia juga dilihat ketawa sambil berkata “sesetengah jenaka tidak mendarat,” dalam rujukan jelas kepada penerbangan MH370 yang hilang pada 8 Mac 2014 ketika dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Beijing, China.

“Seorang pelawak profesional tidak perlu menjadi terlalu terdesak untuk mengubah tragedi menjadi satu bahan ketawa. Ia tidak profesional dan tidak sesuai sebagai bahan jenaka”.

NUFAM mendakwa tindakan Joceyln mengutuk negara Malaysia dengan sinis dan jelek, menunjukkan beliau ada persamaan dengan seorang yang bersifat rasis.

“Yang pasti Joceyln telah melukakan perasaan ramai rakyat Malaysia dan Singapura yang sentiasa menghormati keamanan dan keharmonian antara satu sama lain.

“Sedangkan Malaysia sentiasa mempunyai hubungan yang baik dengan Singapura sebagai jiran rapat selama ini,” tambahnya. – MalaysiaGazette