Nicol menunjukkan anugerah yang diterima sebagai pemenang anugerah Personaliti Sukan Paling Dipercayai di Malaysia, Reader's Digest 2023. Gambar: Facebook Nicol David

KUALA LUMPUR – Bekas ratu skuasy negara, Datuk Nicol David dinobatkan sebagai pemenang anugerah Personaliti Sukan Paling Dipercayai di Malaysia, Reader’s Digest 2023, semalam.

Berkongsi penghormatan itu menerusi Facebook rasminya, Nicol, 39, memaklumkan beliau amat bangga kerana telah diundi dalam kategori tersebut sehingga membuktikan kerjaya, ketelusan dan perwakilannya dipercayai oleh semua rakyat Malaysia.

Beliau turut memuat naik beberapa keping gambar pada majlis yang dihadirinya itu.

“Saya rasa sungguh istimewa selepas empat tahun bersara dan seperti yang anda tahu kehidupan dan tumpuan penuh kini terhadap yayasan saya dalam pembangunan akar umbi dalam sukan tersebut.

“Terima kasih Malaysia, anda terus memberikan saya kebahagiaan dan terima kasih Reader’s Digest,” katanya dilaman sosial itu.

Beliau turut menyebut bagaimana ibu bapanya percaya bahawa sikap boleh dipercayai lebih penting daripada gelaran.

Justeru katanya, anugerah yang diterima itu merupakan salah satu pencapaian terbesar dalam hidupnya. – MalaysiaGazette