kebocoran data UiTM
Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Tiga fasal iaitu Fasal 5 membabitkan peruntukan berkenaan pendaftaran keahlinan yang mempunyai 12 perkara, Fasal 10 yang memperuntukkan tanggungjawab Majlis Kerja Tertinggi dan Fasal 18 yang memperuntukkan Jawatankuasa Cawangan dipinda.

Cadangan itu dibacakan Naib Presidennya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Dewan Merdeka, hari ini.

Mohamed Khaled berkata, pindaan Fasal 5 dicadangkan dengan tujuan menambahbaik dan memperkemaskan proses permohonan keahlian.

“Sebahagian besar peruntukan ini bersifat pentadbiran atau administratif yang berkaitan dengan proses permohonan menjadi ahli UMNO.

“Melalui pindaan yang akan dilakukan, selepas ini semua perkara berkaitan dengan keahlian UMNO akan dipindahkan ke dalam satu peraturan baharu yang akan dikeluarkan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT),” katanya di hadapan perwakilan UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pindaan itu membolehkan fasal keahlian dijadikan satu peraturan dalam parti.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, peraturan-peraturan berkaitan keahlian UMNO, seperti juga peraturan-peraturan parti yang lain, akan lebih mudah untuk dikemaskini, atau dipinda apabila wujudnya keperluan.

“Apabila pengenalan peraturan ini berada di bawah kuasa MKT, sebarang pindaan dan kemaskini tidak memerlukan pindaan perlembagaan UMNO, dan seperti yang kita tahu, pindaan sebarang peruntukan dalam Perlembagaan adalah proses yang memerlukan AGM/EGM, undian dan memakan masa,” jelas Mohamed Khaled lagi.

Dalam pindaan Fasal 5.2 dipinda bagi membolehkan MKT berkuasa membuat sebarang peraturan atau arahan berkenaan tatacata bagi pendaftaran keahlian UMNO.

Manakala, kesemua fasal bermula Fasal 5.3 hingga Fasal 5.8 akan dikeluarkan daripada peruntukan dalam Perlembagaan dan akan dipertimbangkan ke dalam peraturan yang akan dikeluarkan kelak.

Tambah Mohamed Khaled, bagi Fasal 5.9, ia akan dikekalkan dan akan menjadi Fasal 5.3 yang baharu seterusnya, Fasal 5.10 dan Fasal 5.11, kedua-duanya juga akan dimansuhkan.

Manakala, Fasal 5.12 akan dikekalkan dan menjadi Fasal 5.4 yang baharu sementara Fasal 5.1 tiada pindaan dibuat dan dikekalkan.

Ujar Mohamed Khaled, pindaan fasal kedua melibatkan pindaan Fasal 10.6 yang memberikan tanggungjawab MKT untuk menentukan taraf pendaftaran seseorang ahli, menggantung ataupun melucutkan keahlian ahlinya.

Fasal terakhir adalah pinddan terhadap Fasal 18.12.9 yang memperuntukkan agar Jawatankuasa Cawangan mengumpul dan menyediakan senarai pendaftaran ahli biasa UMNO yang baru serta melaporkannya kepada Jawatankuasa Bahagian atau Majlis Kerja Tertinggi. – MalaysiaGazette