mengkarung politik
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, UMNO bukan mengkarung politik yang sanggup menyertai kerjasama politik yang menghakis kedudukan Islam, Melayu dan bumiputera.

Menurut beliau, parti itu tetap mempertahankan empat perkara berkaitan Islam, Melayu, institusi diraja dan bumiputera dalam Perlembagaan Persekutuan.

Timbalan Perdana Menteri itu memberitahu, pendirian UMNO itu adalah berbeza dengan parti tertentu yang menjadikan ayat-ayat Allah sebagai sandaran untuk mengeluarkan pelbagai fatwa politik mengikut kepentingan politik sempit mereka.

“Dalam soal Melayu, kita mendengar fatwa politik tentang assabiyah. Kini merekalah kononnya penyelamat Islam dan Melayu.

“Dalam soal hudud, kita pernah dikafirkan dan kemudian atas kepentingan kerakusan politik mereka, disebut pula hudud bukan keutamaan. Semasa mereka berada dalam kerajaan, mana perginya agenda rang undang-undang (RUU) 355?” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Walaupun tidak dinyatakan nama parti tersebut, sindiran itu dipercayai ditujukan kepada Pas.

Ahli Parlimen Bagan Datuk percaya parti berkenaan adalah mengkarung politik yang bukan sahaja berubah warna dan wajah tetapi lebih dahsyat, ia seolah-olah menjadi pemegang neraca di Hari Mahsyar.

Beliau turut menempelak sebuah parti lain yang menuduh UMNO berselindung di sebaliknya nama bumiputera.

“Akan tetapi, tidak sampai pun dua tahun di puncak kuasa, bumiputera yang kononnya menjadi agenda perjuangan mereka, telah diJANA WIBAWAkan.

“Inilah ciri-ciri pengkhianat yang membalut dirinya dengan slogan Bersih dan Stabil kononnya,” jelasnya yang dipercayai merujuk kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Selain itu, Ahmad Zahid kesal dengan tindakan pihak tertentu menyelewengkan fakta kononnya Kerajaan Perpaduan telah menggadai kalimah Allah.

Beliau memberitahu, hakikatnya pendirian UMNO tidak berubah walau seinci pun di mana ia dengan tegas menyatakan bahawa kalimah Allah tidak boleh dipakai oleh mana-mana agama di Semenanjung dan pendirian yang sama diambil oleh kerajaan.

“Berbanding dengan mengkarung politik yang menunggang agama suatu ketika dahulu, semasa bersama rakan politik yang sama seperti kita hari ini, mengatakan tidak salah untuk agama lain menggunakan kalimah Allah.

“Apa pun hujah mereka, yang jelas dan nyata, mereka akan menukar kulit mengikut suasana. Melayu dan Islam bagi mereka, hanya topeng yang digunakan dalam persembahan sandiwara politik,” katanya.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid menyeru kepada para pemimpin dan ahli UMNO agar jangan bersikap apologetik apabila menyuarakan soal-soal keindukan Islam, Melayu dan bumiputera.

“Pada masa yang sama, kita tidak pernah meminggirkan hak dan kepentingan kaum-kaum lain di negara ini,” jelasnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.