UMNO parti Melayu
Setiausaha UMNO Bahagian Padang Besar, Zaini Meh menyampaikan pembahasan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

KUALA LUMPUR – Kedudukan UMNO sebagai parti teras orang Melayu mesti dihormati oleh parti-parti lain yang membentuk Kerajaan Perpaduan.

Wakil Perlis, Zaini Meh berkata, pada masa yang sama, UMNO juga perlu menghormati parti-parti gabungan yang lain sama ada yang berbilang kaum atau berteraskan bangsa masing-masing.

“Inilah yang saya rasa dan saya fikirkan bahawa susah untuk kita melakukan tetapi insya-Allah bersama-sama untuk menghormati.

“Semua parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan harus melakukan anjakan paradigma menerima perubahan dan menyesuaikan dengan keadaan politik semasa,” katanya.

Beliau yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Padang Besar berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2023 di WTC Kuala Lumpur, pagi ini.

Zaini berpandangan, semua pemimpin dan ahli UMNO perlu berlapang dada menerima perubahan politik semasa.

Beliau percaya, UMNO tidak akan bertahan lama jika masa kekal di takuk lama.

Sehubungan itu, Zaini menyeru semua ahli UMNO supaya berfikir dengan minda terbuka dan melihat dengan mata hati.

“Kadang-kadang kalau kita melihat dengan mata kita, mata akan menipu tetapi bila kita lihat dengan mata hati, sesuatu yang lain,” jelasnya. – MalaysiaGazette