Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kabinet mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara Kali Ke-3 yang bermesyuarat semalam bersetuju untuk mempertimbangkan inisiatif penanaman bagi meningkatkan pengeluaran padi negara lima musim dalam tempoh dua tahun.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam masa yang sama mesyuarat turut memperincikan usaha-usaha Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA)
dalam menjamin ketersediaan bekalan makanan.

Selain itu katanya, mesyuarat tersebut turut mempertimbangkan cadangan penetapan sistem penternakan secara tertutup bagi pengurusan ladang yang produktif dan selamat.

“Melangkah ke hadapan, kerajaan akan terus memastikan langkah proaktif sentiasa ditekankan dalam menganalisis dan mengenal pasti inisiatif baharu, serta merangka intervensi yang lebih komprehensif, relevan dan strategik dalam menjamin kemampanan bekalan input agromakanan dan aktiviti pengeluaran makanan negara,” katanya menerusi kenyataan.

Untuk rekod, Jawatankuasa Kabinet mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara Kali Ke-3 yang bermesyuarat buat pertama kali tahun ini semalam telah dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

Anwar berkata, jawatankuasa berkenaan memberi tumpuan memperkukuhkan sekuriti makanan negara mengambil kira faktor-faktor yang memberi kesan kepada pertanian negara seperti perubahan iklim, kekangan sumber, konflik geopolitik, kemudahsampaian makanan, jurang pendapatan dan amalan pemakanan.

“Faktor sosioekonomi seperti pendapatan penduduk, kos logistik dan harga makanan yang mempengaruhi kebolehcapaian kepada makanan yang cukup, selamat dan bernutrisi perlu diberi perhatian khusus dalam mencatur langkah menangani ketidaktentuan sekuriti makanan,” tambahnya.

Sementara itu beliau berkata, kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang berusaha melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mengurangkan defisit perdagangan.

Jelasnya, usaha berkenaan boleh dilaksanakan menerusi memperkukuhkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi variasi benih penanaman dalam negara, meningkatkan prestasi eksport produk hiliran berasaskan pertanian dan merancakkan aktiviti pengeluaran makanan secara domestik.

Menurutnya, Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) yang bermula pada 15 hingga 30 April 2023 selama 16 hari, dan inisiatif Menu Rahmah telah dapat membantu mengurangkan impak kenaikan harga pada bulan April 2023,” katanya lagi.-MalaysiaGazette