Zainal Abidin Sakom

KUALA LUMPUR – Veteran UMNO mengambil sikap positif berhubung pemberian anugerah bintang kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri kepada veteran DAP, Lim Kit Siang, baru-baru ini.

Ketua Penerangan Veteran UMNO Malaysia, Datuk Zainal Abidin Sakom berkata, penerimaan gelaran oleh Kit Siang itu dengan sendirinya telah menunjukkan  bekas pemimpin DAP itu telah mengiktiraf Sultan dan Raja-Raja Melayu.

Malah katanya, Kit Siang juga telah mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi negara apabila dia mengenakan songkok ketika menerima anugerah itu daripada Yang di-Pertuan Agong.

“Lim Kit Siang dapat Tan Sri, orang marah presiden. Tetapi Veteran UMNO mengambil sikap positif  kerana apabila Lim Kit Siang menerima Tan Sri maka, automatik dia telah mengiktiraf sultan dan raja-raja di Malaysia ini.

“Dia (Kit Siang) mengiktiraf, yang dulunya dia orang tak mahu terima pakai songkok pun,  tapi, dia dah pun menerima (anugerah) dengan songkoknya.

“…apabila dia menerima daripada sultan (anugerah) dan sultan itu adalah ketua agama, maka, sesungguhnya dia telah mengiktiraf agama Islam sebagai agama rasmi tanah air kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.

Untuk rekod, Kit Siang merupakan salah seorang penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2023 sempena Hari Keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini.

Dalam pada itu, Zainal Abidin menggesa ahli-ahli UMNO supaya menceritakan kepada kenalan masing-masing di kampung-kampung berhubung perkara itu bagi memperbetulkan persepsi mereka.

Jika tidak, jelasnya, ia hanya akan menjadi bahan kepada pihak ‘sebelah’ untuk dijaja bagi memburukkan parti.

Maka, ahli-ahli UMNO perlu turun untuk memberikan penjelasan bagi memperbetulkan keadaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast