GEORGE TOWN – Remaja lelaki yang maut dalam kejadian dihempap pokok tumbang di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu di sini, awal pagi tadi dalam perjalanan balik selepas makan malam di Padang Kota.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Bahang, Zolkifly Md Lazim berkata, mangsa, Muhammad Wafiq Zikry Shah Mohd Farid Amirol Shah,18, merupakan cucu sedaranya dan kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Genting, Balik Pulau.

“Beberapa penunggang motosikal yang turut terbabit dalam kejadian itu merupakan rakan kepada cucu sedaranya.

“Mengikut ibu kepada Muhammad Wafiq Zikry, mangsa memaklumkan keluar untuk makan malam bersama beberapa rakannya pada jam 8 malam sebelum mereka dikejutkan dengan panggilan berhubung kematiannya,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Muhammad Wafiq Zikry adalah anak sulung daripada dua beradik.

Menceritakan mengenai keperibadian mangsa,  Zolkifly, Muhammad Wafiq Zikry tidak bekerja dan baru saja menerima keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada Khamis lalu.

“Boleh dikatakan ramai orang Balik Pulau mengenali keperibadian Muhammad Wafiq Zikry yang aktif dalam kegiatan sosial serta ringan tulang membantu orang lain.

“Bukan saja itu, dia juga merupakan ahli silat Gendang Rebana yang aktif dalam pertunjukan di negeri ini,” katanya.

Tambah Zolkifly, jenazah mangsa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Terang, Balik Pulau selepas solat Asar.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong mengesahkan mangsa akibat mengalami kecederaan parah di kepala.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Mohd Shahrul Hanaffi di talian 016 6658 704 atau tampil ke balai polis berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini. – MalaysiaGazette