BATU KAWAN – Polis sedang mengesan sekumpulan pemandu kereta bagi membantu siasatan berkonvoi hingga menghalang lalu lintas di atas Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS).

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 9 malam tadi selepas video berhubung kejadian dimuat naik di TikTok.

“Berdasarkan video yang dimuat naik itu memaparkan sekumpulan pemandu pelbagai jenis kereta telah menganggu lalu lintas di atas JSAHMS dari arah Batu Kawan.

“Tindakan kumpulan berkenaan turut mengakibatkan gangguan kepada pengguna jalan raya yang lain.

“Siasatan lanjut berhubung kejadian itu sedang dijalankan termasuk mendapatkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) daripada pihak Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Chong Chern, kes disiasat di bawah Rule/ Kaedah 16(1) LN 166/59 iaitu menghalang lalu lintas.

Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi 2.50 minit memaparkan lebih daripada 10 buah kenderaan berkonvoi secara tiga barisan meskipun JSAHMS hanya mempunyai dua lorong.

Berdasarkan video itu, pemandu kesemua kereta tersebut bukan saja mengganggu lalu lintas malah turut menggunakan laluan kecemasan. – MalaysiaGazette