KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan lebih mengutamakan perbincangan bilateral antara menteri pertahanan dan angkatan tentera negara-negara luar bagi mendepani isu keselamatan dan pertahanan berbanding menyampaikan ucapan di khalayak ramai.
Menteri Pertahanan, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan yang membidas kenyataan Khairy Jamaluddin yang mempersoal tindakannya tidak berucap pada sidang kemuncak Dialog Shangri-La di Singapura baru-baru ini berkata, perbincangan bilateral antara menteri pertahanan dan angkatan tentera negara-negara lain lebih berkesan daripada bercakap dalam dialog.
Ini kerana semasa ucapan diberikan kebanyakan pemimpin negara asing tidak ada bersama.
“Saya lebih utamakan perbincangan bilateral (perbincangan dua hala). Hingga kini, saya berjaya mengadakan perbincangan bilateral dengan 13 negara. Dengan menteri pertahanan masing-masing termasuk Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), China dan banyak negara Eropah yang berminat untuk mengetahui pendirian Malaysia tentang keadaan Indo-Pasifik, selat Taiwan dan Laut China Selatan,” katanya kepada media.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU2023), di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.
Khairy baru-baru ini mempersoalkan keputusan Mohamad yang tidak berucap di sidang kemuncak Dialog Shangri-La di Singapura kerana padanya acara itu amat penting untuk negara merebut peluang menyuarakan pendirian di pentas dunia memandangkan Asia Pasifik berdepan pelbagai isu yang seharusnya melibatkan suara negara.
“Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan hadir tetapi dia telah memilih untuk tidak berucap,” kata Khairy.
Dialog Shangri-La menyaksikan 41 negara mengambil bahagian dengan 48 delegasi di peringkat menteri dan lebih 35 pegawai kanan pertahanan, termasuk panglima-panglima angkatan tentera serta ahli akademik terkenal.
Antara delegasi kali ini ialah Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd J Austin III dan Menteri Pertahanan Negara China, Li Shangfu.
Mengulas lanjut, Mohamad menegaskan dalam forum atau dialog pertahanan antarabangsa ada perkara yang tidak boleh dikongsi atau didedahkan kepada umum kerana ia melibatkan hal-hal pertahanan.
“(Itu sebab bilateral lebih berkesan. Boleh bertanya secara jujur dan kita menjawab secara jujur. Ada perkara tentang pertahanan tidak boleh dijadikan perbincangan dalam forum umum.
“Pebincangan bilateral lebih berfaedah kerana yang mendengar forum adalah pelajar universiti dan tidak ada forum yang dihadiri oleh menteri pertahanan dan menteri luar,” katanya lagi. – MalaysiaGazette