Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta barisan ahli-ahli UMNO berhenti mengeluarkan kenyataan yang menyindir dan menyakitkan hati sahabat-sahabat yang telah dipinggirkan oleh parti.

Ketua UMNO Bahagian Bera itu juga bersetuju supaya golongan pemimpin yang telah dipinggirkan dijemput kembali seperti mana ucapan Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Salleh.

“Semoga UMNO kembali gagah seperti dulu kala,” katanya dalam hantaran di laman Facebook hari ini.

Terdahulu Ismail Sabri yang juga bekas Perdana Menteri berkongsi video beliau bersama-sama perwakilan UMNO Bahagian Bera hadir ke Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Dewan Merdeka WTC.

Katanya, beliau mendengar dengan teliti ucapan pembahasa-pembahas yang menzahirkan tekad untuk bangkit kembali berjuang demi agama, bangsa dan tanah air.

Beliau mengingatkan ahli-ahli parti bahawa UMNO adalah parti memimpin dan bukannya dipimpin.

“Tekad harus dibulat bukan hanya sekadar menjadi penumpang tetapi perlu bangkit kembali menerajui kepimpinan negara.

“UMNO perlu menerajui bukannya pelengkap untuk menubuhkan kerajaan,” katanya.

Bekas Naib Presiden UMNO itu juga menggesa ahli-ahli UMNO supaya berhenti memuja dan memuji orang lain kerana UMNO adalah parti yang berpengalaman dan mempunyai asas perjuangan yang amat jelas demi agama, bangsa dan tanah air. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.