Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Bekas pemimpin UMNO, Tan Sri Annuar Musa mahu orang Melayu dan Islam supaya mengangkat parti Pas sebagai teras utama perjuangan ummah.

Menurut beliau, orang Melayu dan Islam perlu bersatu di bawah Pas yang lebih jujur berjuang untuk agama dan negara.

“Orang Melayu dan umat Islam perlu segera disatupadukan di bawah panji-panji perjuangan yang lebih istiqamah dan lebih jujur menjunjung agama, bangsa dan negara.

“Pilihannya adalah Pas. Pas perlu segera diangkat menjadi teras utama perjuangan ummah dengan prinsip perjuangan yang lebih luhur dan berterangkuman. Insya-Allah.

“Bersatulah wahai kaum muslimin dan peribumi bersama rakan dan sahabat pelbagai kaum dan bangsa dalam negara tercinta. Membawa keadilan dan kesejahteraan buat semua,” katanya.

Annuar membuat seruan berkenaan selepas mendakwa UMNO tidak lagi memainkan peranan sebagai pemimpin yang menyatukan orang Melayu dan Islam.

Beliau mendakwa, pemimpin UMNO telah ‘menodai’ mandat rakyat dan kehendak majoriti dengan melarikan sokongan melalui manipulasi dan muslihat untuk memberi sokongan kepada parti minoriti berideologi sosialis dan liberal.

“Tindakan ini yang semakin melumpuhkan UMNO serta menjadikan UMNO semakin tidak relevan dan tidak lagi mempedulikan asas perjuangannya tetapi menjadi alat kepentingan individu tanpa mempedulikan perasaan dan harapan orang Melayu yang menyokongnya.

“Tidak syak lagi UMNO pimpinan semasa telah belot kepada perjuangan dan lari dari tanggungjawab memimpin perpaduan dan penyatuan orang Melayu.

“UMNO memilih menjadi sekadar murid bukan guru, menjadi pengikut dan pelengkap. King maker kepada sosialis dan liberal bukan lagi pemacu nasionalisme Melayu dan Islam,” katanya.

Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu telah sah menjadi ahli Pas dan menerima serahan sijil keahliannya sempena Ceramah Perdana Perikatan Nasional di Senawang, Negeri Sembilan malam tadi.

Dalam kenyataan di media sosial hari ini, Annuar berkata, semangat perjuangan beliau tidak luntur untuk memimpin perpaduan dan muafakat dalam membina negara bangsa yang berbagai kaum.

Menerusi wadah politik orang Melayu dan Islam beliau mahu menjadikan Malaysia sebuah negara yang harmoni sejahtera dan dirahmati.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Annuar sah ahli Pas

1 Komen

Comments are closed.