HATAY (TURKIYE) – Hatay merupakan wilayah selatan Turkiye yang paling teruk terkesan akibat gempa bumi pada Februari lalu kini berada dalam keadaan sunyi dan sepi.
Suasana itu jelas berbeza apabila wilayah itu sebelum ini meriah dengan pelbagai aktiviti apabila dihuni lebih 1.6 juta penduduk.
Namun hari ini beberapa bandar di Hatay tidak ubah seperti di dalam filem apabila terbiar dan tidak berpenghuni. Ia diibaratkan seperti kawasan perang yang musnah dalam hanya beberapa detik gegaran yang membunuh.
Kunjungan MalaysiaGazette yang mengikuti mmisi bantuan pasca gempa bumi Turkiye-Syria ke Turkiye anjuran PasRelief baru-baru berpeluang melihat kesan runtuhan bangunan yang masih rosak dan kosong tanpa didiami manusia di Hatay.
Pengarah PasRelief, Mohd. Yusni Matpiah berkata, pihaknya kembali semula ke wilayah itu selepas empat bulan bencana berlaku dan ia kini tidak lagi berpenghuni malah sunyi dan terbiar.
Beliau yang juga Pengarah Sekretariat Tabung Aid4Turkiye&Syria berkata, kesan gempa bumi turut menyebabkan sebilangan besar penduduk berpindah ke wilayah lain untuk mencari tempat kediaman yang lebih selamat.
“Gempa bumi telah menyebabkan kebanyakan bangunan dan rumah ranap ke muka bumi dan ianya musnah sama sekali.
“Lebih 20,000 penduduk dilaporkan terkorban di sini di mana Hatya menjadi wilayah yang terjejas teruk selain Kahramanmaras,” katanya yang mengetuai misi entiti Pusat Bantuan Kemanusiaan Antarabangsa milik Pas itu.
PasRelief berrtindak sebagai Pusat Koordinasi Bantuan Bencana untuk menerima segala bentuk sumbangan dan bantuan bagi menjayakan misi kemanusiaan di luar negara sejak 2017.
Selain Mohd. Yusni, turut menyertai misi kali kelima ini adalah Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar Pas Pusat, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Sementara itu, angka kematian akibat gempa bumi pada 6 Februari lalu di Turkiye melibatkan 45,968 kematian yang disahkan selain 7,259 kematian di utara Syria.
Namun sejak dari hari pertama Turkiye dihurung duka dengan bencana itu, pelbagai bantuan disalurkan dari seluruh dunia tiba bukan sahaja dalam bentuk barangan, bahkan tenaga dan masa.
Prihatin dengan apa yang berlaku, pemimpin utama negara selain pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pasukan sukarelawan berpusu-pusu melawat kawasan terjejas untuk menghulurkan bantuan untuk sama-sama turun padang memberikan sumbangan sewajarnya.
Mengulas lanjut, Mohd. Yusni berkata, Malaysia bersedih dengan bencana yang menimpa saudara seagama itu sambil mendoakan mangsa yang terselamat diberi kekuatan dan kesabaran meneruskan kehidupan pada masa akan datang.
Beliau turut mengucapkan terima kasih yang menyumbang kepada Tabung Aid4Turkiye&Syria kendalian PasRelief dan 39 NGO itu dalam meringankan beban yang ditanggung masa gempa di Turkiye dan Syria.
“Rentetan dari misi bantuan pertama sehingga kelima, Aid4Turkiye&Syria telah menyumbang sebanyak 36 buah kontena kepada mangsa-mangsa gempa bumi.
“Selain itu, bantuan pek makanan dan 10 trak makanan turut disediakan dengan kos RM100,000 bagi setiap trak adalah termasuk makanan asas, selimut dan pakaian musim sejuk.
“Sekretariat Aid4Turkiye&Syria akan berusaha untuk menyalurkan lebih banyak bantuan berbentuk kontena penempatan sebanyak 100 unit di mana sebanyak 36 unit telah berjaya disumbangkan.
“Misi ini digerakkan atas dasar keprihatinan juga kemanusiaan, dan ia akan terus dijalankan bagi memenuhi keperluan semasa mangsa gempa bumi.
“Pihak Aid4Turkiye&Syria amat menghargai komitmen serta keprihatinan rakyat Malaysia yang menyumbang melalui sekretariat ini dan misi kali ini delegasi berjaya masuk ke Idlib dan Halab di Syria.
Sementara itu, mereka yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan melalui akaun rasmi Pertubuhan Kemanusiaan Dan Bantuan Bencana Sejagat Malaysia – 1212-2010-0405-54 Bank Islam Malaysia Berhad. – MalaysiaGazette