ALOR SETAR – Kementerian Pendidikan (KPM) sedang meneliti faktor-faktor yang menyumbang kepada ketidakhadiran pelajar untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata penelitian itu perlu dilakukan bagi membolehkan kementerian membuat intervensi yang sewajarnya untuk memastikan kehadiran pelajar lebih baik pada tahun-tahun akan datang.
“Saya fikir ada banyak faktor dan ia pastilah faktor yang mendesak sehingga mereka tidak boleh hadir untuk mengambil peperiksaan. Jadi, ia perlukan penelitian dan bagi masa untuk teliti, kita akan buat intervensi sewajarnya.
“Bagi menentukan perkara itu membimbangkan atau tidak, ia bergantung kepada apa yang dapat selepas kita teliti nanti…sebab calon kita ini pelbagai ada calon bukan sahaja bawah sekolah KPM, ada juga calon persendirian dan sebagainya jadi perlu pecahan yang lebih teliti,” katanya selepas melawat Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMKJ) Keat Hwa di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan sebuah akhbar tempatan hari ini yang menyatakan sejumlah 14,858 atau 3.8 peratus daripada 388,832 calon baharu SPM 2022 dan mendaftar kali pertama sekurang-kurangnya enam mata pelajaran, tidak hadir menduduki peperiksaan berkenaan.
Berdasarkan analisis KPM, calon yang tidak hadir peperiksaan tahun lepas bertambah berbanding calon SPM 2021 yang merekodkan 10.681 atau 2.7 peratus calon tidak hadir daripada keseluruhan 392,837 calon yang berdaftar.
Sementara itu, Fadhlina berkata jumlah calon yang memperoleh sijil SPM juga lebih baik iaitu lebih 90 peratus berbanding sebelum ini dengan lebih 80 peratus sahaja, dan tumpuan KPM adalah untuk meningkatkan lagi peratusan calon yang mendapat sijil.
Semasa dirujuk mengenai cadangan untuk penambahbaikan silibus subjek Sejarah yang melibatkan Kedah dan Pulau Pinang pula, beliau berkata ia tidak akan dilakukan buat masa ini kerana setiap silibus subjek mempunyai kitarannya sendiri.
“Kurikulum ini dipantau oleh pakar-pakar dan murid-murid pun ada kitarannya… jadi setakat ini kita kekal seperti sedia ada sehinggalah kitaran itu habis dan akan lihat dari segi keperluan untuk semua, bukan Sejarah sahaja tapi semua subjek,” katanya.- BERNAMA