We Ka Siong membuang undi bagi memilih jawatan Ketua MCA Bahagian Johor Bahru yang diadakan di Dewan Jubli Intan hari ini.

JOHOR BAHRU – Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong menyatakan sebarang keputusan mengenai gerak kerja jentera parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri hanya  dilakukan selepas pembahagian kerusi antara parti komponen selesai.

Bagaimabapun setakat ini, katanya, perkara berkaitan pembahagian kerusi PRN masih belum dimuktamadkan.

“Setakat ini kita belum muktamadkan pembahagian kerusi, tetapi sekiranya kita hentam semasa parti dalam Kerajaan Perpaduan, kalau kita gaduh dahulu itu tidak akan bawa kita ke mana-mana.

“Apa yang lebih penting bagi saya adalah bagaimana hendak terjemah semangat kebersamaan dalam Kerajaan Perpaduan, caranya adalah dengan mengadakan rundingan kerusi.

“Daripada situ kita akan dapat lihat semua parti akan buat keputusan masing-masing bagaimana untuk berdepan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) ini, ada parti akan dapat kerusi yang diidamkan dan ada parti yang tidak, jadi adalah penting untuk mententeramkan parti yang tidak dapat, itu antara cabarannya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuang undi bagi memilih jawatan Ketua MCA Bahagian Johor Bahru yang diadakan di Dewan Jubli Intan hari ini.

Ka Siong yang juga merupakan Ahli Parlimen Ayer Hitam memberitahu, tiada makna perancangan awal dibuat sebelum setiap parti maklum kerusi DUN mana yang akan ditandingi mereka.

Terdahulu, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, pembahagian kerusi dijangka akan dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat.

Menurut beliau, BN sudah hampir memuktamadkan rundingan pembahagian kerusi dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi PRN di enam negeri tidak lama lagi.

Enam negeri yang bakal diadakan PRN adalah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah, dan Terengganu.-MalaysiaGazette