KUALA LUMPUR – Jabatan Kesihatan Negeri Johor akan menerima 35 orang jururawat perjawatan tetap dan perjawatan-perjawatan lain termasuk Penolong Perubatan Kesihatan dan beberapa jawatan kontrak lain sedang menunggu untuk disahkan.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, Kementerian Kesihatan telah meluluskan peruntukan khas sebanyak RM771,600.00 bagi pembelian aset perubatan dan bukan perubatan untuk membolehkan kedua-dua wad berkenaan dibuka segera, antaranya set katil, Defib With Pacing, Basic Dinamp, Vital Sign 4 Channel, ECG Machine, Portable X-Ray Viewer dan lain-lain.
Selain itu, waran peruntukan perbelanjaan mengurus sebanyak RM634,916 telah diturunkan juga kepada Jabatan Kesihatan Negeri Johor bagi perolehan aset bukan perubatan (ABR) untuk memenuhi keperluan yang mendesak di kedua-dua Hospital Sultan Ismail dan Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru.
Zaliha berkata, penyelesaian ini hasil lawatan mengejut Menteri Besar Johor ke Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru baru-baru ini susulan penutupan dua wad dan 10 bilik pembedahan berikutan kekurangan aset perubatan serta sumber manusia.
Menurut beliau, isu ini sememangnya dalam perhatian KKM.
”KKM berterima kasih atas keperihatinan semua pihak dalam memastikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik diberikan kepada rakyat. Usaha
sedemikian dengan pendekatan “keseluruhan kerajaan dan keseluruhan masyarakat” adalah antara perkara penting yang digariskan melalui Kertas Putih Kesihatan yang akan dibentangkan di Parlimen pada 13 Jun 2023 demi menjamin kesaksamaan dan akses perkhidmatan kesihatan yang lebih mampan serta
ianya kalis masa depan,” ujarnya. – MalaysiaGazette