MELAKA – Seorang datuk dan dua cucunya cedera selepas kereta dipandu merempuh kedai serbaneka di stesen minyak Jalan Bukit Rambai, di sini malam tadi.
Kejadian kira-kira pukul 7 malam berlaku selepas warga emas berusia 69 tahun itu selesai mengisi minyak bersama dua cucunya berusia 13 dan 12 tahun.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, sebaik selesai mengisi minyak, lelaki itu tiba-tiba tertekan pedal minyak semasa memasuki gear D.
“Ia mengakibatkan kereta jenis Hyundai Sonata itu terbabas sebelum merempuh kedai serbaneka stesen minyak berkenaan.
“Mujurlah ketika kejadian, tiada pelanggan di dalam kedai dan hanya pemandu serta dua cucunya lelaki dan perempuan mengalami kecederaan ringan di kaki,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambahnya, mangsa kemudian dibawa ke hospital oleh anaknya yang tiba di tempat kejadian selepas itu.
“Terdapat rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) dan tiada saksi bebas yang tampil membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (1987),” katanya. – MalaysiaGazette.