TEMERLOH – Gambar sambutan Hari Kebangsaan ke-69 yang dimuat naik dalam kumpulan WhatsApp keluarga menjadi kenangan terakhir buat pasangan suami isteri bersama anak lelaki mereka sebelum maut dalam kemalangan membabitkan 11 kenderaan di Kilometer 110.3 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah timur, dekat Lanchang, di sini malam tadi.
Pasangan suami isteri Muhammad Nazatul Nazmi, 32, dan Nur Atiqah Sofiya Mohd Kazwan, 32, serta anak mereka, Muhammad Armaan Nazeef, empat tahun, dipercayai dalam perjalanan pulang ke Kuantan selepas menghadiri sambutan Hari Kebangsaan di Putrajaya.
Bapa Nur Atiqah, Mohd Kazwan Kassim, 59, berkata gambar anaknya bersama suami dan cucunya ketika berada di Putrajaya semalam sempat dikongsi dalam kumpulan WhatsApp keluarga.
Namun, katanya, dia hanya mengetahui mengenai kemalangan yang menimpa mereka kira-kira pukul 7.50 pagi tadi.
“Saya dapat tahu daripada kawan-kawan anak, namun dalam hati masih tidak yakin sehingga saya melihat gambar dalam media sosial.
“Saya tidak tahu bila mereka bertolak ke Putrajaya atau mula bergerak pulang,” katanya ketika ditemui di perkarangan Unit Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), di sini.
ARTIKEL BERKAITAN
Menurutnya, Nur Atiqah merupakan anak kedua daripada empat beradik dan pemilik Secangkir Cafe di Sungai Karang, Kuantan.
Muhammad Nazatul pula bekerja di sebuah kilang di Gebeng, Kuantan dan berasal dari Kuala Lumpur.
“Kali terakhir kami berjumpa pada Khamis lalu kerana kediaman kami berhampiran di Bandar Damansara, Kuantan,” katanya.
Mohd Kazwan berkata, jenazah ketiga-tiga mangsa akan dimandi, dikafankan dan disolatkan di Masjid Kampung Paya Luas, di sini, sebelum dibawa pulang ke Kuantan untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Setali.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.55 malam itu, sebuah lori tangki dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh beberapa kenderaan lain yang bergerak perlahan di hadapannya menghala ke timur.
Kemalangan itu turut mengorbankan Seow Beng Wain, 55, penumpang sebuah Honda CR-V.
Manakala pemandu lori tangki terbabit, Zulkarnain Md Noh, 52, dari Kuantan, mengalami kecederaan parah dan kini menerima rawatan di HoSHAS. – MalaysiaGazette
















