KUALA LUMPUR – Seorang lelaki tempatan ditahan selepas dipercayai memecah masuk sebuah gudang pembekal elektrik di Cheras pada 24 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu sekitar jam 11.58 pagi pada keesokkan hari.
“Berdasarkan laporan, seorang lelaki tempatan memberitahu tempat kerjanya telah dipecah masuk dan siasatan mendapati kejadian berlaku sekitar jam 9.48 malam, 24 Ogos.
“Suspek dikesan menceroboh masuk ke dalam kawasan gudang melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dengan mengumpil pagar tepi bangunan dan masuk melalui jeruji tandas,” katanya dalam kenyatan hari ini.
Tambah beliau, susulan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) D4 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras bersama Task Force Balai Polis Bukit Jalil telah melakukan serbuan.
“Bertindak atas maklumat dan risikan, kita telah melakukan serbuan di sebuah pangsapuri di Persiaran Prima Utama, Puchong sekitar jam 11.24 malam pada 25 Ogos dan menahan lelaki berusia pertengahan 30-an dipercayai bekas pekerja premis itu.
“Dalam serbuan, turut dirampas barang kes termasuk sebuah cash box berwarna biru, satu unit telefon bimbit serta sehelai baju dan topi hitam dipercayai digunakan suspek ketika kejadian,” ujarnya.
Tambah beliau, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
“Suspek telah direman bermula 26 Ogos hingga 31 Ogos lalu bagi membantu siasatan dan akan dituduh hari ini di mahkamah,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















