Kompleks Mahkamah Melaka

MELAKA – Seorang wanita berusia 19 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini hari ini atas pertuduhan melakukan khianat dengan merosakkan harta benda milik Sekolah Tunas Bakti Sungai Lereh, di sini bulan lalu.

Tertuduh, Nur Syafiqah Abdullah membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman.

Bagaimanapun mahkamah mengarahkan tertuduh dihantar ke Hospital Permai di Tampoi, Johor Bahru untuk menjalani pemeriksaan status kesihatan mental oleh penilaian pakar.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati telah melakukan khianat dengan memecahkan cermin tingkap, merosakkan katil, pintu besi dan pintu kabinet milik Sekolah Tunas Bakti Sungai Lereh di Asrama Anjung Kasih, kira-kira jam 7 pagi pada 18 Ogos 2026.

Perbuatan itu didakwa menyebabkan kerosakan terhadap barangan berkenaan dan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 426 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau didenda atau kedua-duanya.

Ketika prosiding, majistret turut mendapatkan kepastian daripada tertuduh berhubung kefahamannya terhadap pertuduhan dan hukuman sebelum tertuduh mengakui memahami kerana telah mengamuk secara agresif

Peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhammad Izzuddin Ab Malek yang mewakili tertuduh kemudian memaklumkan tertuduh  menjalani rawatan psikiatri dan telah didiagnosis mengalami ‘personality change due to brain damage’ susulan kemalangan yang pernah dialaminya.

Sehubungan itu, pihak pembelaan memohon supaya tertuduh dirujuk ke hospital bagi pemeriksaan kesihatan mental mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

Timbalan Pendakwa Raya, S Thiviya, tidak membantah permohonan berkenaan.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan berkenaan dan memerintahkan tertuduh dihantar ke hospital psikiatri di Johor Bahru bagi mendapatkan penilaian serta laporan pakar berhubung keadaan kesihatannya.

Majistret Sharda Shienha kemudian menetapkan 15 September ini bagi mendapatkan status pakar berhubung tahap kesihatan tertuduh.

Dalam prosiding sama, majistret turut memaklumkan kepada ibu tertuduh yang hadir di mahkamah bahawa anaknya tidak boleh dijamin sementara menunggu proses tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here