nasrudin hassan
Nasrudin Hassan

KUALA LUMPUR – Datuk Dr Khairuddin Aman Razali kelihatan masih gagal untuk move on dalam menyusun langkah politiknya kerana cara beliau menyerang Pas tidak ubah seperti melepas geram terhadap parti itu.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nasrudin Hassan berkata, Khairuddin tidak lebih sekadar sukarelawan sniper berpusing ke belakang untuk menembak sasar Pas secara bertalu-talu.

Beliau berkata, sewajarnya Khairuddin memberi fokus untuk merencanakan strategi pemulihan UMNO yang semakin jatuh reputasinya di mata rakyat.

“Menyerang Pas tidak akan menjadikan Dr Khairudin mendapat tempat selesa dalam UMNO pun, ia pernah dilalui oleh para migrasi politik seperti beliau sebelum ini.

“Khairuddin sekadar mampu mempamerkan sikap ‘politik lepas geram’. Lebih aneh dan agak melucukan apabila kaedah serangan yang dilakukan oleh migrasi politik daripada Pas tidak berubah sejak dahulu.

“Asal keluar Pas, mereka mesti serang balik Pas atas isu solat dua imam, tak makan sembelihan orang UMNO, tak sah nikah wali orang UMNO dan hal-hal yang seangkatan dengannya,” katannya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, media melaporkan Khairuddin mendakwa, ahli Pas ditarbiah untuk menerima hanya parti Islam itu sahaja sebagai jamaah Islam dan satu-satunya jamaah Islam di Malaysia.

Khairuddin juga berkata, Pas juga ditarbiah agar memandang serong kepada semua orang Islam di luar parti itu sedangkan salah faham perkara itu menyebabkan umat Islam berpecah-belah di negara ini.

Nasrudin berkata, bekas pimpinan Pas itu kerap menggunakan isu lapuk yang sudah dapat diatasi sebelum ini menggunakan pendekatan ilmiah.

“Ahli Pas mudah mengelak dan menangkis kerana sudah tahu sudut mana mereka nak tembak, peluru jenis apa yang mereka guna, siapa pula penembak sasar yang bertugas.

“Kalau pun nak serang Pas, gunalah peluru baharu dan ambillah sudut yang lain pula. Asyik guna isu solat dua imam yang berlaku di zaman 80an, saya nak bagi pencerahan pun dah tak semangat.

“Isu-isu seperti itu tidak perlu saya jawab secara ilmiah pun, sebab ia telah selesai dan tidak berlaku lagi pada zaman ini dengan perubahan landskap politik dan perkembangan pemikiran,” katanya.

Menurut beliau, Khairuddin sepatutnya menghala muncung bedil ke arah DAP yang dilihat sangat celupar mulut dan tindakan biadab terhadap Islam dan umatnya.

“Kepekaan beliau untuk mempertahankan Islam itu sepatutnya membuatkan beliau kenal siapa musuh yang patut beliau bedil.

“Jangan buang karan. Tidak ada masa dah kami nak bincang isu usang genre 80an yang telah pun lama selesai.

“Pas juga jelas dan faham sejak sekian lama isu yang dibangkitkan. Sudah banyak forum membincang isu jamaah muslimin dan ia telah melalui perkembangan dan kefahaman yang positif,” katanya lagi. – MalaysiaGazette