Ramai pelajar sekolah bekerja sebagai penghantar untuk menanggung keluarga. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pelajar sekolah menengah mencatatkan keciciran persekolahan lebih tinggi berbanding pelajar sekolah rendah.

Timbalan Menteri Pendidikan (KPM) Lim Hui Ying berkata, pelajar berkenaan dari keluarga miskin lebih memilih untuk bekerja demi menyara hidup keluarga.

“Ketidakhadiran akibatkan keciciran 60 peratus atau lebih kerana kemiskinan. Di peringkat menengah keciciran lebih tinggi (pihak sekolah) sudah buat lawatan ke rumah murid keciciran.

“Kebanyakan murid sekolah menengah sudah mula bekerja untuk menanggung sara hidup keluarga. Mereka memilih untuk tidak menyambung pelajaran.

“Ini masalah sosial yang perlu dicari jalan penyelesaian. Satu daripada hasrat KPM ialah mewajibkan persekolahan selama 11 tahun. Dengan langkah ini kurang keciciran,” kata Hui Ying di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Parit (PN) Ismi Mat Taib yang meminta kementerian menyatakan langkah-langkah yang diambi bagi membantu para pelajar yang telah tercicir pengajian disebabkan masalah kemiskinan.

Menurut Hui Yin, sehingga Jun tahun lalu kadar keciciran murid di seluruh negara pada peringkat sekolah rendah adalah 0.07 peratus manakala pada peringkat sekolah menengah pula adalah 0.99 peratus.

Kementerian katanya, telah menyediakan sebanyak 18 jenis bantuan persekolahan bagi tahun 2023 yang terdiri daripada 13 jenis Bantuan Khusus dan 5 jenis Bantuan Umum bagi mengurangkan bebanan keluarga miskin.

KPM juga menyedari isu kehadiran murid terkait isu ibu bapa menanggung kos tinggi untuk menghantar anak ke sekolah terutamanya yang terletak jauh dari rumah.

“Justeru, bagi memastikan akses kepada pendidikan diberi keutamaan, KPM telah memperluaskan sekolah komprehensif 9 atau K9 dari 12 buah sedia ada kepada 17 buah.

“Matlamat utama sekolah K9 diwujudkan bagi menangani isu keciciran di kawasan pedalaman, terutamanya bagi murid yang menghadapi kesukaran untuk meneruskan pendidikan ke peringkat menengah atas faktor lokasi ke sekolah menengah yang jauh, bentuk muka bumi yang mencabar dan sosio ekonomi keluarga,” kata beliau.

Selain itu, KPM juga memperluaskan konsep K9 kepada sekolah komprehensif 11 (K11).

Ia merupakan satu inisiatif dalam memberikan akses pendidikan yang lebih menyeluruh dari peringkat rendah hingga menengah selama 11 tahun iaitu daripada Tahun 1 hingga Tingkatan 5.

Katanya, konsep K11 dijangka mampu mengurangkan kadar keciciran transisi murid dari Tingkatan 3 ke Tingkatan 4 atau transisi peringkat pengajian menengah rendah ke menengah atas.

Sekolah K11 juga menjadi inisiatif yang akan menyokong usaha KPM ke arah memastikan murid di kawasan yang dikenal pasti dapat menamatkan pendidikan 11 tahun.

Sebagai permulaan KPM telah memulakan program rintis K11 di SK RPS Betau, Kuala Lipis, Pahang yang sekarang dikenali sebagai SMK RPS Betau khas bagi murid Orang Asli di kawasan tersebut.

Di samping itu, program rintis ini juga dilaksanakan di SMK Long Bedian, Baram, Sarawak.-MalaysiaGazette