PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa penjawat awam mengamalkan budaya membaca dan bermusyawarah kerana ia mampu membantu sekiranya mahu memutuskan sesuatu.
Ini kerana, menurut Perdana Menteri, dengan andaian tanpa menimba ilmu, kepakaran akan terbatas.
Malah, katanya, dengan cara itu ia juga boleh menjadi sesuatu yang dapat membantu ke arah hala tuju dan masa depan negara.
“Umpamanya pengalaman saya dengan TPM (Timbalan Perdana Menteri) Fadillah (Datuk Seri Fadillah Yusof), soal kerja raya, pelaksanaan lebuh raya, beliau lebih arif, itu bidang dia dan dia lama di situ (pernah jadi menteri kerja raya).
“Jadi, mendengar pandangan dia itu, akan membantu saya dalam memutuskan (membuat sesuatu keputusan). Itu yang saya rasa nak sampaikan.
“Maknanya wacana itu yang diperluas adalah teras dalam budaya kita,” katanya ketika berucap pada majlis Perjumpaan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini, hari ini.
Hadir sama pada perjumpaan itu, Fadillah dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, perbezaan pendapat tidak semestinya menyebabkan ia menjadi satu perseteruan untuk menghukum.
Katanya, meskipun ada yang berbicara soal Islam dengan cara tidak beradab meskipun pandangannya benar atau belum tentu benar, tetapi kepantasan menjatuhkan hukuman itu menyebabkan perbahasan dan perbincangan tidak berlaku.
“Jadi, budaya ini juga harus dikembangkan dalam penjawat awam supaya perbezaan pendapat itu tidak bermakna dan memberi sijil atau hak untuk mencela, kerana kalau ada 11 pendapat akhirnya kita akan putuskan satu dan tidak bermakna yang 10 itu semunya curang,” ujarnya. – MalaysiaGazette