PH BN Najib
Perwakilan UMNO memegang poster Solidariti Untuk Najib Razak pada Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 09 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Tindakan membebaskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sekarang akan menguntungkan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) tanpa memberi sebarang mudarat dalam enam pilihan raya negeri (PRN).

Penganalisis politik, Lim Sian See berkata, Najib sudah tentu akan menaikkan semangat jentera UMNO dan BN dengan sangat ketara jika beliau dibebaskan dan dapat berkempen.

“Sebahagian besar penyokong UMNO-BN yang kecewa sebelum ini sebab parti masih belum beri keadilan kepada Najib selepas tujuh bulan bentuk kerajaan juga akan bantu, sokong dan undi semula BN,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 minggu lalu, sebahagian besar perwakilan yang setia menyokong Najib mendesak pucuk pimpinan parti melakukan tindakan yang konkrit dalam usaha mendapatkan pengampunan diraja terhadap bekas Presiden UMNO itu.

Najib yang kini menjalani hukuman penjara selama 12 tahun atas sabitan dalam kes SRC International Sdn Bhd telah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong.

Sian See menambah, Najib masih menerima sokongan yang kuat daripada golongan pengundi Melayu atas pagar.

“Golongan ini dijangka lebih cenderung untuk undi PH-BN jika mereka percaya Najib akan diberi peranan untuk membantu kerajaan dalam hal-ehwal ekonomi sebab ramai yang bimbang dengan ekonomi negara ketika ini,” jelasnya.

Walau bagaimanapun, beliau menjangka mungkin timbul sedikit bantahan aripada penyokong PH serta pengundi bukan Melayu atas pagar sekiranya Najib dibebaskan dalam masa terdekat.

“Mungkin mereka akan mengadu sedikit tetapi meraka akan tetap undi PH dan BN jika dipaksa pilih sebab golongan ini sangat takut pada Perikatan Nasional (PN) dan Pas,” katanya. – MalaysiaGazette