ACP Mohd Zaid Hassan

KAJANG – Polis menagih kerjasama seorang individu bernama Sivakumar Thiarajah sebagai saksi penting dalam kes perbicaraan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, individu itu sedang dikesan dan diminta tampil segera ke mahkamah bagi membantu perbicaraan kes pemerdagangan manusia dan penyeludupan imigran.

Ia berikutan pada 16 Mei 2020, Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang telah menerima satu laporan berkaitan kes berkenaan.

“Dalam kes berkenaan mangsa seorang lelaki warga India telah diselamatkan polis di Kajang. Justeru polis turut telah berjaya menangkap suspek yang terlibat di dalam kejadian ini dan telah dituduh di bawah Seksyen 12 Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, mohd Zaid berkata, pihaknya memerlukan orang ramai membantu mengesan Sivakumar untuk hadir perbicaraan kes sebagai saksi pendakwaan dalam kes berkenaan.

Kes perbicaraan ini akan berlangsung di Mahkamah Tinggi Jenayah 7, Shah Alam yang akan bersidang pada 15, 22 Jun dan 13 Julai 2023.

Alamat terakhir saksi yang dikehendaki itu di 223, Jalan Tempua 6, Puchong Jaya.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan penama ini diseru untuk menyalurkan maklumat kepada polis atau penama sendiri boleh berhubung terus dengan pegawai penyiasat kes, Asisten Superitendan Redzuan Mat Salleh di talian 013-7854100. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast