Pemandu bas tersepit dan patah kaki manakala sembilan pekerja asing cedera selepas sebuah bas kilang bertenbung dengan bas kilang dan dua kenderaan lain dalam kejadian di Telok Gong, Pelabuhan Klang pagi tadi.Ihsan Bomba Selangor

KUALA LUMPUR – Seorang pemandu bas parah manakala sembilanpenumpang cedera selepas sebuah bas kilang telah bertembung dengan sebuah lagi bas kilang dan dua buah kereta di susur keluar Lebuhraya Shaha Alam (Kesas) pagi ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan yang berlaku jam 8 pagi itu dengan mengerahkan sepasukan lapan anggota dengan jentera FRT serta sebuah Jentera EMRS dari Balai Bomba dan penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang ke lokasi kejadian.

“Pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati kemalangan melibatkan sebuah bas kilang dipandu seorang lelaki tempatan berumur 48 tahun bersama 40 penumpang terdiri daripada pekerja kilang telah merempuh sebuah bas kilang lain serta dua buah kereta di hadapan.

“Akibat kemalangan tersebut pemandu bas kilang itu telah tersepit di bahagian pemandu manakala pemandu bas dan dua kenderaan lain tidak tersepit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Wan Md Razali, bomba menggunakan peralatan khas dan berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit pada jam 8.25 pagi.

Tambah beliau, pemeriksaan di dalam bas kilang pertama itu mendapati terdapat sembilan mangsa terdiri daripada warga asing mengalami kecederaan ringan dan pemandu bas yang tersepit itu patah paha kanan.

Katanya, mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah untuk mendapatkan rawatan. – MalaysiaGazette