perjumpaan khas UMNO
Logo UMNO di Menara Dato Ona, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AMIRUL SHAUFIQ, 30 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Semakan kehakiman untuk mencabar kelulusan Menteri Dalam Negeri (KDN) berhubung usul tambahan UMNO tidak mempertandingkan dua jawatan utama dalam pemilihan parti itu telah dipohon tiga anggota parti itu.

Mereka ialah ahli UMNO Cawangan Kampung Bukit C2 Lembah Pantai, Satarriah Abdul Karim dan Zaidi Abdul Majid serta ahli MIC Lembah Pantai, P Vellasamy, telah memfailkan permohonan itu baru-baru ini di Mahkamah Tinggi di sini.

Ketiga-tiga defendan itu telah menamakan Kerajaan Malaysia, Menteri KDN, Datuk Seri Saifuddin Nasution, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) dan UMNO selaku responden dalam semakan kehakiman ini.

Mereka memohon kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mendapatkan perintah certiorari untuk membatalkan kelulusan Menteri Dalam Negeri pada 7 Mac lalu yang mengecualikan UMNO daripada mematuhi Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 menurut peruntukan Seksyen 70 akta sama.

Ketiga ahli BN itu telah memohon perisytiharan bahawa surat RoS bertarikh 3 Mac lalu yang mendapati bahawa usul tambahan UMNO yang diputuskan di Perhimpunan Agung 2022 adalah tidak teratur sebenarnya bertentangan perlembagaan parti serta tidak sah.

Mereka juga memohon satu perisytiharan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO hendaklah dipertandingkan dalam masa 30 hari dari tarikh penghakiman.

Untuk makluman, usul tambahan UMNO dicadangkan ketika Perhimpunan Agung UMNO 2022 pada 11 hingga 14 Januari lalu berhubung ketiadaan pertandingan untuk dua jawatan utama pada Pemilihan Majlis Tertinggi UMNO bagi penggal 2023-2026.

Manakala pada 2 Mac lalu, RoS mengeluarkan surat yang dialamatkan kepada Setiausaha Agung UMNO bertajuk Pengesahan Berhubung Usul Tambahan Ucapan Dasar Presiden Di Perhimpunan Agung UMNO 2022 yang ditandatangani Ketua Pengarah RoS.

Menurut ketiga-ketiga pemohon, dalam surat itu RoS mendapati usul tambahan UMNO yang diputuskan di Perhimpunan Agung UMNO 2022 adalah tidak teratur dan bertentangan dengan Fasal 9.3 Perlembagaan UMNO, oleh itu ia adalah tidak sah.

“Sepatutnya RoS mewajibkan UMNO untuk mengambil tindakan pembetulan untuk mematuhi Fasal 9.3 perlembagaan parti itu.

“Dalam satu kenyataan media pada 7 Mac lepas yang dikeluarkan oleh Saifuddin menyatakan kementeriannya telah memutuskan untuk memberi pengecualian menurut Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966 kepada UMNO daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) akta sama,” kata mereka.

Semakan akan didengar pada 15 Jun ini di hadapan Datuk Amarjeet Singh. -MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kenapa mrteka ini belum di ambil tindakan oleh parti dan BN. Orang biadap macam ni buat apa ada dalam parti.

Comments are closed.