BANGI – Laporan hampir 30,000 pelajar yang tidak menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) perlu dipandang serius, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek telah diarah meneliti secara terperinci mengenai isu tersebut supaya ia tidak berlaku lagi masa akan datang.
“Bagaimana boleh Menteri Pendidikan ketika itu (sebelum ini) tak boleh pantau anak-anak tak ambil periksa. Ia hanya memerlukan Fadhlina sebagai Menteri Pendidikan.
“Bagi saya, 30,000 pelajar perkara yang serius. Nak kata mereka ‘hilang’, mereka tidak hilang cuma kalau tak buat apa-apa ia hilanglah. Tapi yang tak ambil SPM majoriti Melayu, menteri dulu buat apa?” soalnya.
Beliau berkata demikian pada Program Cakna Madani Perdana Menteri bersama pelajar tajaan JPA di institusi pendidikan tinggi di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi hari ini.
Turut hadir Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; timbalannya, Datuk Mohammad Yusof Apdal; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Zulkapli Mohamed.
Sebelum ini, media melaporkan sebanyak 14,858 atau 3.8 peratus daripada 388,832 calon baharu SPM 2022 dan mendaftar kali pertama sekurang-kurangnya enam mata pelajaran, tidak hadir menduduki peperiksaan.