GEORGE TOWN – Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor mengingatkan umat Islam supaya tidak terlalu taksub dalam berpolitik sehingga sanggup memutuskan hubungan kekeluargaan.
Jelas beliau, hubungan silaturahim haram diputuskan kerana perbezaan pegangan politik yang disokong oleh masing-masing.
“Parti politik merupakan metodologi berasaskan pemikiran manusia untuk menguasai tampuk pemerintahan dengan matlamat tertentu yang ingin dicapai.
“Banyak ayat al-Quran yang mewajibkan hubungan silaturahim serta mengharamkan perbuatan memutuskan hubungan ini. Ada juga hadis yang menyatakan bahawa menghubung silaturahim boleh menyebabkan panjang umur dan murah rezeki
“Justeru tidak wajar perbezaan pegangan politik membawa kepada perpecahan dalam kalangan umat Islam, apatah lagi menjadi faktor yang memutuskan hubungan silaturahim antara anggota sebuah keluarga, adik beradik dan kaum kerabat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Sehubungan itu, Wan Salim menyarankan para pemimpin parti politik di negara ini tidak kira kerajaan mahupun pembangkang menjelaskan perkara ini kepada pengikut masing-masing.
“Janganlah mereka (parti politik) menjadi ‘batu api’ yang memecahbelahkan perpaduan umat Islam.
“Sebaliknya semua pihak mesti berusaha untuk memperkukuh kesatuan dan perpaduan umat Islam, malah antara sesama warga Malaysia daripada pelbagai kaum dan penganut agama yang berbeza,” kata beliau. – MalaysiaGazette