KUALA TERENGGANU – Perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Kepulauan Solomon esok, memberi cabaran berbeza dan pengalaman baharu buat Malaysia yang berhasrat mengekalkan momentum kemenangan yang telah dibina.
Pertembungan dijadual berlangsung di gelanggang keramat Terengganu FC iaitu Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus itu merupakan pertemuan pertama kedua-dua pasukan.
Tumpuan ketika ini terarah kepada pengendali pasukan negara Kim Pan Gon dan pendekatan taktikal bakal digunakan jurulatih dari Korea Selatan itu dalam usahanya mencatat kemenangan ke atas musuh baharu yang tidak kurang hebatnya serta memiliki kelebihan tersendiri.
Berdasarkan ranking dunia, Kepulauan Solomon kendalian jurulatih dari Sepanyol Felipe Vega-Arango berada di tangga ke-134 manakala pasukan negara di posisi ke-138 selepas meraih dua kemenangan pada jendela perlawanan antarabangsa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) di Johor, Mac lepas.
Bagi siri aksi persahabatan kali ini, Vega-Arango membawa 23 pemain terdiri daripada gabungan bakat tempatan dan pemain beraksi di luar negara antaranya ‘mesin gol’ Gagame Feni, 24, yang meledak 16 gol dalam 29 perlawanan dan pemain profesional tunggal dalam pasukan Raphael Lea’i.
Pada usia 19 tahun, Lea’i yang menyarung jersi kelab Bosnia dan Herzegovina, FK Velez Mostar, sudah mencipta nama tersendiri sebagai bintang semakin meningkat di Kepulauan Solomon, malah dikenali kerana kemahiran teknikal dan kebolehan menjaringkan gol.
Menyertai Lea’i dalam skuad adalah dua pemain berpangkalan di luar negara – Ian Kalu selaku pemain pertahanan kelab New Zealand, Napier City Rovers dan Marlon Tahioa yang beraksi di bahagian tengah buat kelab Fiji, Suva FC.
Vega-Arango turut membariskan tiga muka baharu iaitu Clavin Ohasio, Ben Fox, dan Norman Ngafu yang kesemuanya beraksi bersama pasukan Marist FC dalam usahanya mencipta keputusan positif berdepan Malaysia buat julung kali sekali gus melebarkan rekod tanpa kalah pasukan.
Kepulauan Solomon yang menerapkan permainan keras dan larian laju ketika ini berada dalam momentum yang baik selepas mencatat empat kemenangan dan seri sekali dalam lima perlawanan terakhir sejak September tahun lepas.
Cabaran bakal diberikan Kepulauan Solomon menyaksikan mereka berupaya menjadi lawan yang baik buat pasukan negara khususnya Pan Gon untuk membentuk skuad lebih mantap menjelang dua tugasan penting dalam masa terdekat.
Malaysia akan beraksi pada pusingan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bermula November ini sebelum berentap bersama Korea Selatan, Jordan dan Bahrain dalam saingan Kumpulan E Piala Asia 2023 di Qatar pada Januari 2024.
Selepas dua kemenangan di Johor, antara perkara perlu diperbaiki pasukan negara adalah keberkesanan jentera serangan dengan penyerang Negeri Sembilan, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi diberikan peluang membuktikan kemampuan dimiliki selepas kembali menyertai skuad.
Shahrel Fikri antara pemain dipanggil semula Pan Gon, yang dalam masa sama turut mengekalkan 17 pemain ketika beraksi di Johor, selain menyenaraikan muka baharu iaitu pemain muda Selangor FC Muhamad Syahir Bashah.
Dalam lima perlawanan terakhir, Malaysia hanya tewas sekali kepada Thailand pada perlawanan separuh akhir kedua Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022, Januari lepas.
Secara keseluruhan, kedua-dua pasukan berada dalam prestasi baik tetapi di atas kertas, Malaysia dilihat mempunyai kelebihan.
Malaysia seterusnya akan menentang Papua New Guinea dalam satu lagi aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di sini pada 20 Jun.- BERNAMA