Saifuddin pada sidang media di Lobi Parlimen, hari ini.

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu meneliti sedalam-dalamnya punca pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak mahu menyambung pengajian di peringkat tinggi.

Ketua Portfolio Pendidikan dan Pendidikan Tinggi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, ada data-data yang harus dilihat bagi melihat penyebab peratusan pelajar untuk menyambung pengajian yang  rendah itu.

“Saya percaya bahawa tentu ada sebab yang mereka kata tak nak sambung belajar.

“…contoh juga semasa Covid-19, peratusan besar daripada mereka yang jadi E-hailer (penghantar makanan) itu adalah pelajar universiti atau yang baru keluar universiti. Mereka tiada kerja lain zaman Covid-19 (nak buat).

“Adakah mereka nak sambung balik belajar atau tidak, sebab dia dah merasa dapat duit dan sebagainya…jadi, benda-benda itu yang harus kita teliti,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen, hari ini.

Beliau ditanya mengenai kajian Strategik Forward Malaysia Research Centre, berhubung trend pelajar lepasan SPM yang tidak mahu menyambung pengajian di peringkat tinggi berterusan akan menyebabkan negara kehilangan 70 peratus tenaga mahir dalam pasaran.

Jangkaan tersebut dibuat berdasarkan kepada laporan 48 peratus lepasan SPM 2021 yang tidak melanjutkan pengajian pada tahun lalu.

Terdahulu, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen (PN-Indera Mahkota) berkata, PN mencadangkan beberapa perkara dalam usaha memperkasa penghayatan budaya ilmu bagi membangunkan msyarakat dan negara.

Katanya, antara cadangan itu adalah digerakkan Reformasi Pendidikan yang komprehensif meliputi semua aspek iaitu falsafah, dasar undang-undang, ekosistem, kurikulum, TVET, sumber manusia, mutu dan penghakupayaan pensyarah/guru termasuk pelajar, teknologi digital, kebolehpasaran graduan, perpaduan, pengantarabangsaan, peranan ibu bapa dan alumni, kerjasama pemegang taruh serta kewangan.

“Cadangan ini merupakan perkara pokok yang telah dibentangkan dalam ucapan Ketua Portfolio Pendidikan dan Pendidikan Tinggi serta 14 Ahli Portfolio ini di Mesyuarat Penggal Keda Parlimen Kelima Belas iaitu membahaskan usul menjunjung kasih Titah Agong pada 16 Februari 2023 dan ketika membahaskan Belanjawan 2023 pada 28 Februari lalu,” ujarnya. – MalaysiaGazette