PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa tidak puas hatinya terhadap pelaksanan projek-projek kecil di dearah.
Perdana Menteri berkata, beliau mahu pelaksanaan projek-projek itu disegerakan bagi memastikan rakyat tidak terkesan.
“Harus ada sikap terbuka untuk perbaiki lagi. Kalau kita lihat pelaksanaan tidak begitu memuaskan, di peringkat bawah macam kita umumkan November tahun lalu semua sekolah dan klinik daif harus diperbaiki segera supaya diselesaikan tahun ini, saya nak pastikan peruntukan itu disalurkan segera.
“Keduanya ada kekangan kerana JKR ambil masa dengan dibebankan dengan ribuan projek tambahan.
“Jadi saya bincang dengan Menteri Kerja Raya untuk kecualikan ini dari tugas JKR serah kepada jabatan yang berkaitan terutamanya di peringkat Pegawai Daerah,” katanya dalam majlis perhimpunan warga Kementerian Kewangan bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini, hari ini.
Semalam, Anwar mengarahkan projek infrastruktur kecil seperti baik pulih sekolah dan klinik daif di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) dipindahkan kepada jabatan lain atau pejabat daerah.
Sehubungan itu, beliau akan mengadakan pertemuan dengan semua pegawai daerah pada minggu depan supaya mereka dapat menjalankan tugas pelaksanaan terbabit.
Jelas Perdana menteri, perjumpaan itu akan berlangsung pada Sabtu ini di Sungai Petani, Kedah.
“Pada 17 Jun ini saya undang semua pegawai daerah atau di Kelantan pegawai jajahan berhimpun di Sungai Petani untuk saya sampaikan taklimat.
“Ia supaya kuasa projek kecil itu dipindahkan ke pejabat daerah supaya pelaksanaan itu dipantau dan dapat disegerakan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, negara perlu segera berubah dan tidak lagi menangguhkan segala projek kecil yang menerima impak negatif yang panjang di mata masyarakat.
“Jadi untuk mempercepatkan, input ini harus sampai kepada kita, kalau tidak kita umum dan proses itu panjang dan membebankan satu jabatan dengan kerja-kerja tambahan itu menyukarkan.
“Ini sebagai contoh yang kita nak tentukan ada perubahan kerana bagi sekolah yang tidak ada tandas. Kita tidak boleh tunggu dua tahun, atau bumbung bocor pun tidak boleh tunggu.
“Ada beberapa langkah segera. Betul kita ada beberapa pelan dan kaedah kewangan yang mesti dipatuhi tetapi kalau kita percepatkan asalkan jangan tipu, jangan curi wang, ambil komisyen saya tidak ada masalah,” katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri mahu Kementerian Kewangan menjadi contoh par excellence (melepasi tahap) dalam memberi ruang kepada peringkat bawah menyuarakan input.
“Untuk pastikan perkara ini dipantau, perjumpaan minggu ini atau minggu depan, semua jabatan dan agensi harus berikan minit, saya nak tengok sebagai satu contoh minit mesyuarat itu kepada Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) dan saya nak KSP sampaikan kepada saya.
“Tidak boleh beritahu. Saya nak pastikan ada di Kementerian Kewangan par excellence bahawa bukan sahaja kerja tetapi kita pastikan ada input yang baik dan tidak hanya pengarahan dari Menteri ke bawah,” katanya. – MalaysiaGazette