PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

SIBU – Polis menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 21 tahun kerana disyaki menjalankan aktiviti pengedaran dadah, dalam satu serbuan di sebuah pangsapuri di Jalan Wong King Huo, semalam.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, serbuan pada 2.15 pagi itu dijalankan sepasukan anggota dan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, polis menemukan 71 paket plastik berwarna putih bertulis ‘Juice Master’ berisi serbuk jus diyaki campuran dadah jenis Ekstasi seberat 2.294 gram serta 1,511 biji pil pelbagai jenis disyaki dadah jenis Ekstasi (566.73g).

“Turut dirampas 43 paket plastik lutsinar mengandungi serbuk kristal disyaki dadah jenis Ketamine (273g) dan 26 paket plastik warna putih berisi ketulan kekuningan dan serbuk putih disyaki dadah jenis Ekstasi (25,447g).

“Nilai semasa Keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM402,052 dan polis turut menyita sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger milik suspek bernilai RM146,000,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine/Benzodiazepines (Meth/Benzo) dan hasil pemeriksaan didapati suspek mempunyai tiga kes lampau berkaitan dadah.

Suspek yang dipercayai telah menjalankan aktiviti pengedaran dadah itu selama enam bulan kini direman dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1) akta sama.

Menurut Zulkipli, setiap paket jus dadah itu boleh digunakan enam orang untuk tujuan hiburan dan nilai semasa adalah lebih RM500 sepaket.

Beliau turut menyeru orang ramai agar melaporkan kepada polis sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah di pusat hiburan. – Bernama