MELAKA – Empat majikan sindiket penipuan dihadapkan ke Mahkamah Melaka, Ayer Keroh, di sini atas pertuduhan merompak, mencederakan dan menyimpan video lucah seorang pekerjanya yang enggan menjadi ahli sindiket itu Mei lalu.
Kesemua tertuduh, Soh Sun Hung, 20, Yap Kah Seng, 22, dan dua lagi remaja lelaki berusia 15 dan 17 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam dua prosiding berasingan di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail dan Majistret Nurul Asyikin Rosli.
Mengikut pertuduhan di hadapan Mohd Sabri, kesemua tertuduh sebagai majikan kepada seorang remaja lelaki berusia 15 tahun telah menganiaya mangsa dengan cara mencederakan menggunakan tangan, kaki, tali dan sebatang besi.
Kesalahan itu dilakukan pada 28 Mei lalu antara pukul 8 malam hingga 1 pagi di sebuah rumah di Jalan Klebang Jaya, Taman Klebang Jaya dalam daerah Melaka Tengah.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau dengan kedua-duanyanya sekali di bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Keempat-empat tertuduh turut didapati telah melakukan rompak dengan sengaja menyebabkan cedera kepada remaja berkenaan pada masa, lokasi dan tarikh yang sama.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Dalam prosiding di hadapan Majistret Nurul Asyikin, kesemua tertuduh secara bersama berdepan pertuduhan memiliki bahan-bahan lucah di dalam telefon bimbit.
Perbuatan itu dilakukan di No 56, Jalan Jati 6, Taman Jati Hang Tuah Jaya, dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 3.45 petang 31 Mei lalu.
Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman sehingga tiga tahun penjara atau denda atau kedua-duanya di bawah Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Puteri Nur Nadia Mohamed Iqbal dan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasaruddin manakala tertuduh diwakili peguam Joel Chua.
Muhamad Ehsan dalam hujahannya di hadapan Nurul Asyikin menawarkan setiap tertuduh dikenakan jaminan RM10,000.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Hakim Mohd Sabri kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan untuk setiap tertuduh manakala Majistret Nurul Asyikin menetapkan tertuduh masing-masing dikenakan jaminan RM3,500.
Kes akan disebut semula 14 Julai ini.
Media sebelum ini melaporkan 11 individu anggota sindiket penipuan pinjaman tidak wujud ditahan polis di sebuah rumah di Taman Cheng Perdana kira-kira pukul 10.40 pagi 1 Jun lalu.
Kegiatan sindiket itu terbongkar susulan polis menerima aduan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun mendakwa dipukul dan disamun sekumpulan lelaki disyaki terbabit kegiatan penipuan dalam talian.
Mangsa kemudian dipaksa berbogel sebelum dirakam gambar serta dibelasah dengan kayu dan tali, manakala barang peribadi disamun yang berpunca apabila mangsa mahu berhenti bekerja sebagai operator sindiket penipuan dalam talian itu. – MalaysiaGazette